Pages

Doa 'KO BN': Pas langgar Enakmen Syariah Kelantan, kata Shahrizat

KUALA LUMPUR - Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil hari ini mendakwa Pas telah melanggar Enakmen Jenayah Syariah Kelantan kerana melafazkan doa 'KO BN' pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kota Bharu dua minggu lalu.
Menurut Shahrizat, doa tersebut yang dipimpin oleh adik Murysidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat sebagai menyalahi Seksyen 24 Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang membolehkan sesiapa yang ingkar tergolong dalam kelompok kafir, atau telah berhenti menganut agama Islam.
"... atau tidak patut dapat diterima, sebagai menganuti agama Islam, atau tidak mempercayai, mengikuti, menganuti, atau tergolong dalam agama Islam.
"Adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya," jelas Shahrizat ketika menyampaikan ucapan dasar sayap wanita Umno, di Dewan Merdeka, hari ini.
Shahrizat kemudian menggesa seluruh perwakilan menilai apakah kepimpinan yang seumpama itu layak untuk mentadbir negara ini.
"Apakah tindakan Pas itu tidak bersalah? Saya serahkan kepada perwakilan dan rakyat Malaysia untuk menilainya," katanya.
Justeru menurut Shahrizat, rakyat di negara ini harus menolak kepimpinan yang dibawa oleh pembangkang kerana perikatan itu sanggup melakukan apa sahaja dengan survival politik mereka.
"Mereka bukan sahaja tidak ada pengalaman memerintah, tetapi lebih ketara lagi mereka adalah parti yang tidak moderate, rigid, dan mempunyai sikap politik yang amat menakutkan.
"Matlamat nafsu mereka nak ke Putrajaya (nauizubillah) manghalalkan cara politik mereka. Sikap pembangkang sebegini tentunya tidak layak untuk memerintah negara kerana ia memusnahkan ummah," bidas Shahrizat.
"Mereka kata Umno tidak bebas, tidak adil dan tidak boleh menerima perbezaan pendapat, tetapi realiti adalah di sebaliknya. Merekalah yang kuat mengutuk, mengeji, menghina, mengaib, memfitnah dan mendoakan kemusnahan orang di stadium apabila isu yang dibahaskan bertentangan dengan kehendak dan fahaman mereka," tempelaknya lagi.

Piala AFF: Harimau Malaya 'tempang' tanpa Mat Yo esok

SKUAD bola sepak kebangsaan berdepan laluan berliku pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF Suzuki menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok selepas penyerang Norshahrul Idlan Talaha disahkan mengalami jangkitan kuman di telinga.
Ketika mengesahkan perkara itu, Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Datuk K.Rajagobal berkata, beliau tidak pasti sama ada mampu menurunkan penerima anugerah pemain paling bernilai tiga tahun berturut-turut tersebut pada perlawanan menentang Laos.

"Memang benar (Mat Yo) mengalami masalah kesihatan, dan saya tidak pasti sama ada dapat menurunkan beliau atau tidak, pada perlawanan esok.
"(Bagaimanapun), saya akan mendapatkan pengesahan daripada doktor pakar yang merawat beliau terlebih dahulu pada malam ini untuk mengetahui sama ada beliau boleh beraksi atau tidak," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM Kelana Jaya hari ini.
Malaysia, yang sebelum ini diaibkan 0-3 oleh Singapura pada perlawanan pembukaan Ahad lepas, perlu mencatat kemenangan dalam dua perlawanan berikutnya iaitu Laos esok dan Indonesia, Sabtu ini bagi mencerahkan peluang ke separuh akhir.
Mengulas pemain yang bakal menggantikan tempat Norshahrul jika tidak boleh beraksi esok, Rajagobal berkata beliau akan menamakan pengganti sebelum sepak mula perlawanan itu.
"Saya masih tetap menaruh harapan supaya Mat Yo mampu pulih sebelum perlawanan pada malam esok," katanya.
Sementara itu, penyerang skuad kebangsaan Mohd Safee Mohd Sali berkata, beliau berharap pengganti Norshahrul mampu membantunya mencipta peluang untuk merobek gawang Laos esok.
"Ketiadaan Mat Yo dalam perlawanan esok mungkin merencatkan bahagian serangan skuad kebangsaan, tapi saya masih yakin bahawa semua pemain telah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik," katanya.
Penyerang Pelita Jaya itu turut bertekad menjaringkan gol dalam Piala AFF kali ini selepas kali terakhir berbuat demikian ialah ketika aksi persahabatan menentang Hong Kong pada 14 November lepas di Stadium Shah Alam.
Pandangan Mohd Safee itu turut dikongsi kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim yang melaungkan keyakinan bahawa peluang mereka ke separuh akhir kejohanan masih belum tertutup sepenuhnya.
"Kita belajar daripada kesilapan di atas kekalahan (0-3 kepada Singapura) itu, dan saya menyeru rakan sepasukan untuk mempamerkan persembahan terbaik pada malam esok untuk memungut tiga mata.
"Sekiranya kita beraksi dengan cemerlang pada malam esok, Insya-ALLAH, kita akan meraih keputusan positif," katanya. - Bernama

Mat Yo sah milik Johor, mampukah Johor menundukkan Kelantan tahun depan?

PENYERANG kontroversi, Norshahrul Idlan Talaha sah menyertai pasukan Harimau Selatan bagi musim 2013, selepas menandatangani kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), di ibu negara, malam ini.
Sesi tandatangani kontrak diadakan secara tertutup di sebuah hotel, kira-kira jam 9 malam ini.
Perkara itu dimuktamadkan selepas beberapa jam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Pemain Paling Bernilai kali ketiga berturut-turut itu bebas untuk bermain dengan mana-mana pasukan musim depan.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Suhairi Hashim mengesahkan mengikat kemasukan penyerang sensasi itu bersama pasukan Johor.
 
"Saya mengesahkan PBNJ telah menandatangani kontrak bersama Mat Yo. Mat Yo secara sah akan bersama Johor bagi kontrak dua tahun," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun kata Suhairi, butiran lanjut kontrak tidak didedahkan dan sebarang kenyataan mengenai perkara itu hanya akan diumumkan Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, dalam masa terdekat.
"Kita ucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kerana membantu dan FAM juga demi melihat kejayaan dan kemajuan bola sepak Malaysia," katanya.
 
Kurang beberapa jam lalu, Mat Yo disahkan terlepas dari sebarang kontrak dengan Kafa apabila FAM  memutuskan bahawa pemain paling bernilai itu kini bebas dan boleh beraksi dalam mana-mana pasukan lain musim depan.
Perkara terbabit diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan di Wisma FAM, pagi tadi.

Al-Quran teras tahfiz Matadahu

ALUNAN suara kanak-kanak membaca ayat-ayat suci al-Quran jelas kedengaran sebaik kaki melangkah masuk ke Maahad Tahfiz Darul Huffaz (Matadahu) yang terletak di Kota Damansara, Selangor.
Sesekali bacaan mereka terhenti apabila ditegur oleh guru yang bertugas kerana kesilapan yang dilakukan sebelum bertindak menyambung kembali hafalan. Rata-rata merupakan pelajar yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun.
Ditubuhkan sekitar tiga tahun lalu, Matadahu merupakan sebuah pusat pendidikan tahfiz yang menjadikan hafazan al-Quran sebagai mata pelajaran teras bagi semua pelajar.
 
Maahad Asia Barat
Penasihat Matadahu, Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al Linggi, 31, berkata, selain itu para pelajar juga akan diajar dengan ilmu-ilmu Islam dan bahasa Arab berdasarkan sukatan beberapa maahad yang terdapat di Asia Barat seperti Mesir dan Yemen.
"Apa yang pasti, matlamat kami adalah untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam yang terdiri daripada anak-anak beriman, beramal dan bertaqwa selain membentuk generasi hufaz yang menjadikan al Quran sebagai panduan dan sunah sebagai pegangan hidup.
"Seterusnya mereka diharap bakal menjadi generasi yang tampil sebagai pendakwah berkaliber dalam membangunkan modal insan dalam kalangan umat Islam di negara ini," ujar Ahmad Lutfi ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya baru-baru ini.
 
Memetik hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: 'Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya', graduan Universiti Sulthan Thoha Indonesia itu mengakui ia antara sebab utama beliau mengasaskan pertubuhan maahad tersebut iaitu semata-mata untuk meraih keredaan Ilahi.
Tambah beliau, tempoh pengajian di maahad itu mengambil masa enam tahun. Ia merangkumi bidang hafazan 30 juzuk, panduan membaca al-Quran, pengenalan hukum tajwid, pengukuhan hafazan serta pengajian al-Quran.
"Di samping itu, para pelajar juga akan mendalami ilmu berkaitan akidah, tauhid, fekah, hadis dan Bahasa Arab. Setakat ini kami mempunyai 80 pelajar yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun," jelasnya sambil memberitahu terdapat dua sesi pembelajaran untuk semua pelajar iaitu pagi dan petang.
 
Solat jemaah
Ditanya tentang tenaga pengajar, Ahmad Lutfi berkata, kesemua sembilan guru yang bertugas merupakan lulusan universiti dari dalam dan luar negara termasuk Universiti Al-Azhar dan Libya.
Berkongsi pengalaman dalam mendidik anak-anak kecil menghafaz al-Quran, salah seorang tenaga pengajar, Ustaz Eka Nazra, 32, melahirkan rasa gembira melaksanakan tugasnya.
Menurut Eka, hatinya berasa amat puas apabila anak-anak yang dididik berjaya membaca al-Quran dan menghafaznya dengan lancar.
"Walaupun masing-masing mempunyai kerenah tersendiri, mereka sebenarnya mudah dibentuk jika ia dilakukan dengan cara yang betul. Malah, di Matadahu, kami turut mengajar anak-anak melaksanakan solat berjemaah untuk dipraktik dalam kehidupan sehari-hari," ujar Eka yang berasal dari Indonesia. Beliau kini melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di Universiti Teknologi Mara.

Taman tema tandas pertama di dunia di Korea Selatan

SUWON - Taman tema tandas pertama di dunia terdapat di bandar ini yang terletak sejam perjalanan dari Seoul, Korea Selatan.
Tandas tradisional cangkung Korea Selatan dan mangkuk tandas seperti yang digunakan pesakit di hospital merupakan antara bahan pameran di taman tema itu.
Patung-patung manusia dan kanak-kanak yang sedang membuang air besar juga terdapat di taman berkenaan.
Sebuah muzium tandas juga terdapat di bandar ini.
 
Muzium itu mempunyai rekabentuk seperti tandas dan ia pernah menjadi kediaman pengasas Persatuan Tandas Dunia, Sim Jaek-duck.
Jaek-duck meninggal dunia pada 2009 ketika berusia 70 tahun.
Beliau merupakan bekas datuk bandar ini dan pernah mendermakan tandas untuk kegunaan para peminat sukan semasa Korea Selatan menjadi tuan rumah pertandingan bola sepak Piala Dunia 2002. - Agensi

Ular sawa gergasi muntah semula lembu yang dibahamnya

RIO DE JANEIRO - Seekor ular sawa gergasi memuntahkan semula seekor lembu yang dibaham haiwan tersebut di sebuah hutan di Brazil, menurut beberapa laporan kelmarin.
Menurut akhbar dalam talian MailOnline, hampir 66,000 orang telah menyaksikan rakaman video ular tersebut di laman YouTube dalam tempoh dua hari.
Kejadian itu berlaku di sebatang sungai di dalam hutan tersebut.
Ular itu kemudian meninggalkan bangkai lembu tersebut selepas ia memuntahkannya. - Agensi

Sampel tulang Arafat diambil

RAMALLAH - Jenazah bekas pemimpin terkenal Palestin, Yasser Arafat dikebumikan semula semalam di kuburnya di sini selepas sampel daripada tulangnya diambil untuk diuji sama ada terdapat tanda-tanda beliau diracun.
"Pada pukul 5 pagi waktu tempatan, liang lahad itu mula digali dengan cermat," kata sumber Palestin.
"Operasi tersebut telah tamat dan kuburnya telah dikambus semula manakala sampel yang diambil telah diberikan kepada pakar dari Perancis, Switzerland dan Rusia," kata sumber berkenaan.
Proses pengambilan sampel tulang Arafat itu dilakukan oleh seorang doktor Palestin yang diperhatikan oleh pakar dari tiga negara tersebut.
"Sampel tulang Arafat diambil dari dalam liang lahadnya dan kemudian dipindahkan ke sebuah masjid," kata sumber berkenaan.
Keputusan daripada sampel yang diambil itu akan diketahui dalam masa sekurang-kurangnya tiga bulan.
Proses pengambilan itu dibuat secara tertutup.
 
Sampel yang diambil itu bertujuan untuk menguji kewujudan bahan radioaktif, polonium yang merupakan sebahagian daripada siasatan baharu sama ada bekas presiden Palestin itu diracun.
Siasatan tersebut dibuat ekoran laporan stesen televisyen Al-Jazeera mengenai penemuan sekumpulan pakar dari Switzerland yang menunjukkan terdapat polonium pada barang peribadi milik Arafat.
 
Perancis membuka siasatan terhadap kematian Arafat yang dikemukakan pada Ogos lalu atas permintaan balu beliau, Suha.
Arafat meninggal dunia selepas kesihatannya merosot dengan mendadak di sebuah hospital tentera dekat Paris pada November 2004 ketika beliau berusia 75 tahun.
Pada sidang akhbar, Dr. Abdullah al-Bashir yang mengetuai pasukan perubatan bagi menyiasat kematian Arafat memberitahu, sampel tersebut amat kecil.
"Ia hanya seberat beberapa miligram dan 20 sampel diberikan kepada setiap pihak (yang terlibat dalam siasatan itu)," katanya.
Sementara itu, Suha berkata, misteri paling penting di Asia Barat semakin hampir menemui penyelesaian.
"Kita perlu tahu kenapa beliau meninggal dunia," katanya kepada akhbar Times of Malta di rumahnya di Malta.
Beliau juga menafikan pernah menentang bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Arafat.
Dalam perkembangan berkaitan, kepimpinan Palestin akan mengemukakan petisyen di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda jika terdapat bukti bahawa Arafat telah diracun.
"Jika terbukti beliau diracun, kami akan mengemukakan dakwaan di mahkamah antarabangsa," kata Ketua Suruhanjaya Siasatan Kematian Arafat, Tawfiq Tirawi. - Agensi

Tembelang rejim Zionis

SAIDINA Ali Abi Talib pernah memberi peringatan yang amat mendalam, bahawasanya: "Orang yang berakal itu ialah orang yang mahu mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah pengalaman orang lain."
Kisah kaum bani Israel banyak dirakamkan dalam al-Quran bertujuan mendedahkan tembelang mereka dalam isu keagamaan dan kemanusiaan sejagat. Jangan sesekali ada di kalangan umat Islam yang mencuba untuk menjalinkan sebarang hubungan diplomasi walau atas dasar apa sekalipun.

Perkataan Israel pada asalnya bermaksud pilihan dan ia adalah satu sebutan khusus bagi Nabi Yaakub. Justeru, bani Israel adalah susur galur keturunan Nabi Yaakub dan sekarang mereka lebih dikenali sebagai Zionis.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya, bani Israel ini adalah kaum yang dimuliakan Allah SWT suatu ketika dulu. Kebanyakan daripada keturunan bani Israel atau kaum Yahudi, mempunyai kebijaksanaan dan kelebihan yang tidak diberikan kepada kaum lain." (Surah Al-Baqarah, ayat 85) Sebagai bangsa pilihan, mereka dilimpahi nikmat Allah yang tidak diberikan kepada bangsa lain. Antara nikmat itu ialah diutuskan ramai nabi dan rasul yang daripada kalangan mereka, selain diselamatkan daripada kezaliman Firaun dan bala tenteranya.

Allah SWT berfirman lagi dalam surah al-Baqarah, ayat 40 yang bermaksud: "Wahai bani Israel! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang-Ku berikan kepadamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan-Ku supaya Aku sempurna perjanjian-Ku dengan kamu; dan kepada Akulah saja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain)." Walaupun Allah SWT melimpahkan pelbagai nikmat kehidupan, mereka berubah menjadi bangsa lupa diri, sombong, takbur, mempermainkan ayat Allah dan ajaran agama, bahkan tergamak membunuh pendakwah serta nabi mereka sendiri yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup.

Al-Quran mendedahkan kejahatan mereka yang langsung tiada sifat manusia. Dalam diri mereka ini tersemat beraneka kejahatan yang tersembunyi dalam hati mereka yang diterjemahkan dengan sifat serta perlakuan jahat.
Dalam satu kisah sahabat, pada suatu hari Abu Ubaidah al-Jarrah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, siapakah manusia paling dahsyat azabnya pada hari kiamat?" Baginda menjawab: "Sesiapa yang membunuh nabi atau orang yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar." Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran daripada surah al-Imran ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang kufur ingkar ayat keterangan Allah dan membunuh nabi dengan jalan tidak benar, serta membunuh orang yang menyeru manusia berbuat adil, maka sampaikanlah berita kepada mereka dengan azab pedih." Baginda meneruskan sabdanya: "Wahai Abu Ubaidah, ketahuilah bahawa bani Israel sudah membunuh 43 nabi pada sebelah pagi dalam satu masa. Kemudian ada 170 orang Israel yang mengajak mereka membunuh nabi berkenaan yang menyeru kepada makruf dan mencegah mereka daripada mungkar tapi mereka membunuhnya pada sebelah petang." (Riwayat Abu Hatim dan Ibn Jarir).

Sejarah Islam juga mencatatkan kaum Yahudi terkenal dengan sifat khianat dan mungkir janji. Hampir semua perjanjian yang termeterai antara mereka dengan Rasulullah SAW telah mereka khianati. Tidak menghairankan seandainya rejim Yahudi di Israel kini kekal mempamerkan sifat yang menjadi darah daging mereka iaitu mengulangi perbuatan khianat dan mungkir janji seperti dilakukan nenek moyang mereka dulu.
Mereka bukan saja mengkhianati seluruh isi perjanjian damai dengan bangsa Palestin, malah dengan angkuh dan sombong tidak bersedia untuk tunduk kepada resolusi diputuskan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkaitan isu perdamaian Asia Barat.

Kisah pengkhianatan kaum Yahudi dulu dan sekarang sekali gus membuktikan kebenaran al-Quran yang mendedahkan tembelang dan sikap kaum Yahudi sebenarnya terhadap isu keagamaan, kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Bahkan, umat Islam di bumi Palestin yang dizalimi dan ditindas oleh rejim Zionis itu wajib berjihad demi mempertahankan maruah, harta benda, tanah air serta agama mereka. Penjajahan haram Yahudi yang begitu laparkan tanah di bumi Palestin bertindak melebar penguasaan mereka hasil daripada 'dasar penaklukan yang menggila' itu.

Kaum Yahudi sentiasa berusaha dengan pelbagai cara dan helah, sama ada secara terang-terangan mahupun sulit agar kaum Muslimin meninggalkan ajaran agama mereka dan kembali menjadi kufur. Perilaku jahat kaum Yahudi berkenaan dirakamkan dalam al-Quran untuk dijadikan pengajaran kepada umat Islam selepasnya.

Menerusi surah al-Baqarah ayat 109, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Banyak antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir selepas kamu beriman kerana dengki yang timbul dalam diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW)." Kisah kejahatan kaum Yahudi terhadap masyarakat Islam di Palestin khususnya di Gaza, bukanlah sesuatu yang asing jika kita singkap kembali sejarah perangai bangsa yang dilaknat Allah ini. Mereka pernah membuat onar dengan memanipulasi ekonomi negeri Yathrib (Madinah) ketika menjadi kaum yang menumpang di sana yang mana penduduk asalnya terdiri daripada kalangan Aus dan Khazraj.

Mereka memonopoli sistem ekonomi di Yathrib dan mengamalkan riba sehingga menindas kaum Aus dan Khazraj. Akhirnya kaum Aus dan Khazraj bersatu di bawah panji Islam dan berlakulah peristiwa hijrah yang mereka kemudiannya dikenali sebagai kaum Ansar.

Puak Yahudi pada asalnya pendatang asing dan menumpang di Yathrib. Mereka tidak punya negara. Akhirnya mereka seolah-olah mencipta negara haram mereka sesuka hati di Yathrib. Hari ini sejarah berulang kembali. Mereka laksanakan perkara yang sama di bumi Palestin.

Israel bukan sebuah negara, kerana mereka pendatang asing yang mencipta negara mereka secara haram. Laknat Allah ke atas Zionis.

Teruja bertugas dengan Fafau Hot FM

BIARPUN gagal mempertahankan trofi Artis Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) lalu, pelakon handalan, Noorkhiriah Ahmad Shapie tidak pernah dihambat kecewa.
Apatah lagi, tiga kali merangkul anugerah itu pada ABPBH sudah cukup untuk membuatkan dia bersyukur dengan bakat seni kurniaan Tuhan.
Begitupun, ibu cantik kepada dua cahaya mata ini seperti memencilkan diri di mata pihak media tempatan. Noorkhiriah, 35, seakan-akan selesa 'low-profile' dan kelibatnya hanya dapat ditonton dalam drama TV semata-mata.

Justeru, apa yang menyebabkan dia bertindak sebegitu?

Bersua dengannya pada sesi fotografi yang diadakan di Balai Berita, NSTP, Bangsar baru-baru ini selepas agak lama tertangguh, Noorkhiriah akui dia bersikap terbuka menjawab segala persoalan termasuk dakwaan kononnya tidak lagi memerlukan pihak media.

Menolak tegas dakwaan negatif itu, Noorkhiriah berkata, bukan niatnya untuk tidak lagi berhubung dengan pihak media bagi berkongsi kisah terbaru, cuma jadual lakonannya selalu padat.

Ujarnya, kesibukan di lokasi penggambaran menghalang dia mengatur tarikh sesuai untuk menjayakan sesi fotografi.

"Kesibukan kerja saya menjadi alasan utama. Mana mungkin saya tidak perlukan media kerana selagi terbabit dalam dunia seni, sokongan wartawan itu sangat penting dan sangat diperlukan. Begitupun, saya selalu tidak dapat memenuhi undangan fotografi yang diatur kerana masa kurang sesuai.

"Ada masanya tarikh yang dipilih itu ketika saya terbabit penggambaran di luar Lembah Klang. Jadi memang tak boleh buatlah kecuali di lokasi. Lagipun saya rasakan tiada cerita menarik untuk dipaparkan media selain soal kerja semata-mata. Jadi tanpa kisah sensasi dan kontroversi, apakah orang akan membacanya?

"Jadi memikirkan kemungkinan cerita saya membosankan nanti, adalah lebih baik jika ruang kosong itu diberikan kepada artis lain yang ada cerita lebih hebat untuk dikongsi. Biarlah saya menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja kerana tawaran berlakon diterima pun tak putus-putus.

"Pun begitu, sebagai anak seni yang terbiasa beraksi di depan kamera, perasaan rindu untuk menjayakan fotografi memang ada," katanya yang menggayakan pakaian rekaan Wanpa dan solekan oleh Linda Bridal.

Ramah berbicara, Noorkhiriah memaklumkan imej bertudung tidak sedikit pun menggugat rezekinya. Bahkan, disebabkan kesibukan berlakon juga dia terpaksa rela berjauhan dengan dua permata hatinya, Muhammad Hudhaifah, 3, dan Muhammad Yusoff, 1, yang dihantar balik ke kampung.

Turut berkongsi perasaannya yang mendapat peluang bertugas di konti Hot FM pada 12 dan 13 Oktober lalu, Noorkhiriah berkata, ia pengalaman baru dan istimewa baginya.

Ujar pelakon kelahiran Raub, Pahang itu, ternyata tanggungjawab sebagai penyampai radio yang bertugas pada waktu pagi bukanlah mudah.

"Dua hari saya menyahut cabaran menjadi penyampai radio bersama Fafau (Fara Fauzana) dan Nana Mahzan memang menyeronokkan. Ketika itu, saya diundang bertugas kerana FBI dan AG bercuti.

"Pada saya, ia cukup menghiburkan kerana berpeluang berinteraksi dengan pendengar. Pelbagai gelagat pendengar yang mencuit hati kerana mereka ramah, bersahaja dan amat kelakar.

"Bagaimanapun, saya akui agak kekok pada hari pertama. Mujur ada Fafau dan Nana yang membantu dan syukur saya mampu melakukannya dengan baik. Bahkan, walau pun seawal jam 5 pagi saya sudah berada di Sri Pentas, Bandar Utama, pengalaman bertugas di konti radio Hot FM itu amat berbaloi dan saya benar-benar suka.

"Justeru, andai kata ada peluang buat saya menyertai radio suatu hari nanti secara sepenuh masa, mungkin saya takkan tolak dan akan pertimbangkan. Ini kerana saya begitu gembira melakukan tugasan itu. Malah pengalaman singkat di radio bersama Fafau dan Nana cukup indah dan ia pasti menjadi kenangan tak dapat dilupakan sampai bila-bila," katanya.

Menyentuh pula soal maklum balas pendengar dan peminat, Noorkhiriah berkata, sekali lagi dia bersyukur kerana memperoleh sokongan positif. Walaupun dirasakan persembahannya agak huru-hara tetapi asalkan orang ramai terhibur, ia satu penghargaan. Apatah lagi, sebagai pengalaman pertama dan terlalu baru.

Apapun, Noorkhiriah amat berterima kasih kepada Fafau kerana sudi memberinya peluang untuk menonjolkan bakat sebagai penyampai radio.

Jelas Noorkhiriah lagi, Fafau mengundangnya untuk bekerjasama selama seminggu tetapi dia tidak dapat memenuhinya kerana terikat dengan jadual penggambaran drama.

Antara drama popular yang pernah dibintangi Noorkhiriah adalah Nur Khalifah sebanyak 16 episod dan sitkom Seri Pantun Mai Chek Mai musim kedua bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Noorkhiriah juga memaklumkan dia ada mendapat tawaran berlakon dalam telefilem yang akan menjalani penggambaran di luar negara.

Kini turut membabitkan diri dalam bidang perniagaan sebagai jaminan masa depan, Noorkhiriah berkata, dia kini terbabit berniaga kecil-kecilan menyediakan perkhidmatan van untuk produksi.

Ujarnya, tak sangka sambutan diterima sangat bagus hingga dia bercadang mahu menambah beberapa buah van lagi

JPJ: AES bukan undang-undang baru

SHAH ALAM - Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tidak mengubah undang-undang atau peraturan jalan raya sedia ada yang dikenakan terhadap pesalah lalu lintas, kata Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Ahmad Nasir Abdul Gani.

"Masalahnya terdapat di kalangan orang ramai yang keliru dan menganggap AES adalah undang-undang atau peraturan baru," katanya kepada peserta Program Memperkasakan Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Zon Tengah di sini, hari ini.

Mengambil contoh hukuman saman kerana melanggar lampu merah, beliau berkata, dendanya tetap sama iaitu RM300 dan kadang-kala pemandu mungkin terlepas daripada penguatkuasaa undang-undang berikutan tiada pemantauan 24 jam, sedangkan menerusi AES pemandu diawasi menerusi kamera.

Jelas beliau, penerima saman AES juga masih boleh merayu seperti sebelum pelaksanaan AES dengan syarat mengemukakan bukti yang kukuh.

"Jika terpaksa memandu melebihi had laju kerana perlu menghantar isteri yang hendak bersalin ke hospital, mereka perlu mengemukakan bil hospital bersama surat rayuan mereka untuk dipertimbangkan," katanya.

Berhubung laporan terdapat lebih 60,000 imej kesalahan jalan raya yang dirakamkan AES sejak September lepas, Ahmad Nasir berkata, ia akan diteliti untuk pengesahan sebelum saman dikeluarkan.

"Setiap imej kesalahan lalu lintas yang dirakamkan oleh kamera AES akan dihantar ke pusat kawalan di Glenmarie dan Damansara untuk disahkan oleh pegawai JPJ terlebih dahulu, sebelum saman yang sah dikeluarkan jabatan itu dan dihantar kepada pesalah trafik melalui surat berdaftar," katanya.

Ahmad Nasir berkata, AES diperlukan bagi mengurangkan kemalangan dan kadar kematian di jalan raya yang tinggi di negara ini, iaitu 19 orang sehari.

Pelaksanaan AES diharapkan dapat mendidik pemandu di negara ini supaya  lebih berhati-hati di jalan raya memandangkan jumlah kenderaan berdaftar mencecah 22 juta dengan peningkatan 10 peratus kenderaan baru, setiap tahun.

Setakat ini terdapat 14 kamera AES di pasang di jalan raya dan lebuh raya di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Putrajaya.

Program Memperkasakan Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan selama dua hari, bermula hari ini dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Penerangan) KPKK Datuk Dr Rothiah Omar. - Bernama

Liang lahad Arafat digali hari ini

RAMALLAH – Salah satu misteri politik Asia Barat mungkin dapat diketahui pada hari ini apabila para saintis menggali liang lahad kubur pemimpin terkenal Palestin, Yasser Arafat (gambar kecil) di sini untuk mengetahui sama ada dia diracun.
"Ia amat menyakitkan, mengejutkan dan tidak mudah bagi saya dan anak-anak, tetapi ia mesti dilakukan untuk mengetahui perkara yang sebenar, jika terdapat jenayah, ia mesti diselesaikan," kata balu Arafat, Suha ketika dihubungi di rumahnya di Malta.
Ketua Penyiasat Palestin berkata, Tawfik Tirawi berkata, liang lahad tersebut akan digali pada hari ini untuk mengambil sampel dari tulang Arafat dan pengebumian semula akan dilakukan pada hari yang sama.
 
Khabar angin dan spekulasi tersebar mengenai punca kematian Arafat.
Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera dekat Paris pada November 2004 ketika berusia 75 tahun.
Doktor-doktor di Perancis tidak dapat mengenal pasti punca kematian presiden Palestin itu.
Penduduk Palestin percaya Arafat diracun Israel.
Pada Julai lalu, stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan penemuan daripada sekumpulan pakar dari Switzerland yang menunjukkan terdapat bahan radioaktif, polonium pada barang peribadinya.
 
Polonium merupakan racun yang membunuh bekas perisik Rusia yang lantang, Alexander Litvinenko di London pada 2006.
Liang lahad itu digali selepas kes siasatan kematian Arafat dibuka di Perancis baru-baru ini.
Panel hakim yang mengendalikan siasatan itu tiba di Ramallah, Tebing Barat kelmarin. – AFP

Satu petak tempat letak kereta dijual RM509,190

HONG KONG - Satu petak tempat letak kereta individu dijual pada harga AS$166,666 (RM509,190) di Hong Kong, menurut beberapa laporan semalam.
Petak itu kini menjadi salah satu cara untuk para pelabur memperoleh keuntungan dengan menjualnya pada harga yang tinggi.
Pada minggu lalu, seorang hartawan Hong Kong, Li Ka-shing menjual 514 petak tempat meletak kereta dan memperoleh sebanyak AS$77 juta (RM235.24 juta), menurut akhbar South China Morning Post dan The Standard.
 
Petak tempat meletak kereta di Hong Kong boleh disewa pada harga AS$490.30 (RM1,497) hingga AS$606.43 (RM1,852) sebulan. - AFP

Piala AFF - ‘Tiada kaitan dengan perkahwinan saya’

PENJAGA gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat menepis dakwaan bahawa tumpuannya terjejas ekoran persiapan perkahwinan yang bakal berlangsung pada penghujung Disember depan.
Namun pada masa sama, pemain berusia 23 tahun itu tanpa berselindung mengakui dirinya menjadi punca utama kekalahan 0-3 skuad Harimau Malaya kepada Singapura pada aksi pembuka tirai peringkat Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin.
Dalam perlawanan itu, Khairul Fahmi yang juga dikenali sebagai Apek didakwa membuat kesilapan mudah apabila gagal mengeluarkan bola pada minit ke-37 hasil sepakan percuma Shahdan Sulaiman sebelum disambar Shahril Ishak untuk gol kedua Singapura pada perlawanan tersebut.
Persembahan goyah Apek dalam pertemuan itu telah mengundang resah peminat biarpun penjaga gol utama Harimau Malaya itu kembali fokus pada separuh masa kedua.
 
"Saya bertanggungjawab atas kekalahan Malaysia kepada Singapura. Begitupun, ia tiada kena mengena dengan persiapan perkahwinan saya.
"Sekali lagi, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana gagal membantu skuad negara mencatatkan kemenangan ketika menentang Singapura dan berjanji akan kembali bangkit selepas ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam kelmarin.
Untuk rekod, Apek, 23, yang merupakan penjaga gol utama Kelantan bakal menamatkan zaman bujangnya bersama pemilik butik pengantin, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, atau mesra dengan panggilan Leuniey pada 28 Disember ini.
 
Sementara itu, bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli tampil mempertahankan prestasi Apek sambil menyifatkan wira Piala Suzuki AFF 2010 itu bakal mengulangi persembahan hebat pada perlawanan kedua ketika menentang Laos malam esok.
"Inilah bola sepak. Kadang-kadang kita menonjol, kadang-kadang tidak.
"Tekanan amat dirasai memandangkan kita tampil sebagai juara bertahan, tambahan pula menjadi tuan rumah kejohanan.
"Jadi, kita sebagai peminat haruslah memberikan semangat bukan sekadar mengkritik tak kena pada tempatnya.
"Jangan mudah menghukum Apek hanya disebabkan satu kesilapan sedangkan sebelum ini dia banyak membantu skuad negara," ujar Sharbinee yang pernah menjadi mangsa kecaman peminat akibat beberapa kesilapan mudah yang dilakukan.

Piala AFF - Harimau jadi kucing

Khalid malu skuad kebangsaan tiada hati dan semangat juang tinggi

Kuala Lumpur: Bekas pemain negara, Khalid Ali mengakui malu dan tidak tahu mana mahu letak muka selepas kekalahan Harimau Malaya bimbingan Datuk K Rajagobal kepada pasukan jiran, Singapura, malam kelmarin.
 
 
"Jika dulu apabila saya turun melawan Singapura, saya cukup semangat untuk menang tetapi apa yang diperagakan skuad kebangsaan semalam (kelmarin), saya cukup malu. Tetapi saya tidak tahu Rajagobal atau anak buahnya ada perasaan itu atau tidak?," soalnya semalam.

 
Walaupun menganggap persembahan Safiq Rahim dan rakannya itu bukan prestasi sebenar yang ada pada skuad Harimau Malaya namun aksi longlai ditunjukkan setiap posisi jelas sukar diterima olehnya dan penyokong setia.

Lari tanpa tujuan

"Singapura juga banyak melakukan kesilapan tetapi kita bermain tidak seperti diharapkan kerana kebanyakan pemain hanya sekadar berlari tanpa arah tujuan. Bermain bola sepak bukan hanya berlari dan tahu menyepak bola tetapi kita juga perlu ada strategi.
"Jelas, skuad kebangsaan kita sudah mundur dan jangan terus bagi alasan. Sudah cukup segala eksperimen kerana kita sudah lihat hasilnya," tambahnya.

Khalid turut mempersoal senarai pemain dipilih pengendali negara itu kerana kebanyakan pemain adalah bukan mereka yang layak mewakili pasukan negara.

Raja silap

"Di situ dia (Rajagobal) mungkin tersilap. Pasukan kebangsaan bukan hanya untuk pemain yang bawah 25 tahun kerana pemain yang berusia seperti Amri (Yahyah) dan Hairuddin Omar juga layak untuk mewakili negara sekiranya mereka berada di tahap terbaik ketika aksi Liga Malaysia.

"Saya rasa mereka layak untuk disenaraikan dan berupaya untuk beraksi baik. Sebagai contoh, Alexander Duric yang berusia lebih 40 tahun juga masih mampu menjaringkan gol buat Singapura," katanya yang masih menaruh harapan melihat kebangkitan Harimau Malaya.

Piala AFF: Harimau Malaya 'elak' media

SKUAD Harimau Malaya memilih untuk 'menyembunyikan diri' selepas diaibkan Singapura semalam, apabila menjalani latihan secara tertutup di Institut Penilaian Negara (Inspen) petang ini. 

Usaha media menjengah sesi latihan skuad Harimau Malaya gagal apabila pengawal keselamatan tidak membenarkan mereka memasuki institut berkenaan dengan alasan telah menerima arahan daripada pihak atasan FAM untuk berbuat demikian.

Tindakan itu mengejutkan petugas media kerana sebelum ini, mereka tidak pernah dihalang daripada membuat liputan skuad kendalian Datuk K.Rajagobal tersebut.

Semalam, Harimau Malaya tumpas 0-3 kepada Singapura pada perlawanan pembukaan kumpulan B Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengurus pasukan Harimau Malaya Datuk Seri Subahan Kamal ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa arahan tersebut adalah daripada beliau sendiri.
 
Beliau berkata, tindakan tidak membenarkan media membuat liputan latihan skuad Harimau Malaya itu adalah bagi memastikan usaha memulihkan semangat pemain tidak terganggu.

"Saya nak mereka (jurulatih dan pemain) beri tumpuan 150 peratus kepada persiapan menentang Laos pada Rabu ini kerana kita perlu mendapat tiga mata penuh.

"Kita memerlukan enam mata untuk mara ke separuh akhir, dan saya yakin mereka mampu melakukannya," kata Subahan.

Bagaimanapun, beliau berjanji akan membenarkan media membuat liputan pada latihan berikutnya di padang latihan FAM esok.

"Biarlah pemain kita jalani latihan secara tertutup buat seketika kerana mereka perlu memberi fokus sepenuhnya tanpa sebarang gangguan hari ini," katanya.
 
Subahan berkata, tindakannya itu bukan bermakna untuk menutup kelemahan skuad kebangsaan tetapi bagi memberi ruang kepada pemain kerana beliau yakin anak buah Rajagobal mampu bangkit pada perlawanan seterusnya.

Malaysia akan menamatkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember. - Bernama

Pengurus Harimau Malaya: Kritik secara profesional

PENGURUS skuad kebangsaan, Datuk Subahan Kamal berharap setiap kritikan yang dilemparkan kepada anak buah Datuk K. Rajagobal harus secara profesional, bukannya bercanggah dengan "budaya kita."
Jelasnya, beliau yang sedia menerima setiap pandangan dan cemuhan, mahu setiap tindakan yang dilakukan haruslah kena dengan adat dan budaya Malaysia.
"Tiada masalah untuk mengkritik. Tetapi biarlah dibuat dengan rasional dan tidak terlalu terikut-ikut budaya luar yang nyata jauh bercanggah dengan budaya kita.
"Kita semua kecewa, tapi kita harus menerimanya dan meneruskan perjuangan yang masih ada," kata Subahan ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kritikan sekumpulan penyokong Malaysia yang berang dengan kekalahan 0-3 ke atas Singapura di laman sendiri semalam.

Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menegaskan bahawa mereka tidak akan memperdulikan setiap kritikan yang dilemparkan.

Sebaliknya, beliau dan Rajagobal akan terus bersemangat dan tidak akan mengalah selagi perjuangan belum berakhir.

"Katalah apa yang nak diperkatakan, kami tidak akan mengalah.

"Saya tahu semua orang kecewa dengan keputusan yang dicatat oleh pemain, tapi suka atau tidak, kita harus menerimanya. Dan sentiasa menyokong.

"Apa-apa pun, kami akan tetap menggalas tanggungjawab tersebut biarpun tanpa penyokong di sisi," katanya lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai laluan sukar yang dihadapi oleh Malaysia untuk melepasi peringkat kumpulan setelah tewas kepada Singapura, Subahan bagaimanapun tidak gusar dan beliau tetap meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap Rajagobal.

"Saya tetap yakin mereka mampu melangkah ke peringkat seterusnya.

"Rajagobal sendiri pernah melalui pengalaman seperti ini, jadi saya yakin beliau pasti akan memikirkan beberapa strategi untuk menanganinya," ujarnya lagi.
Selepas ini, Malaysia, selaku juara bertahan akan menentang Laos Rabu ini sebelum mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan menentang Indonesia pada 1 Disember ini.

Piala AFF: Harimau Malaya mampu mengaum esok?

SEMENTARA skuad negara bimbingan Datuk K. Rajagobal dikecam teruk dari setiap sudut, seluruh negara ekoran keputusan kalah 0-3 dengan Singapura pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF Suzuki kelmarin, bekas-bekas pemain dan penganalisis sukan masih meletakkan harapan Harimau Malaya akan bangkit esok.

Sehubungan itu, Rajagobal harus segera memperbaiki setiap kepincangan yang ada dalam skuad kendaliannya itu dan jangan terus memberikan harapan palsu kepada peminat tanah air.

Apa yang pasti, anak-anak Rajagobal wajib bangkit ketika berdepan Laos esok jika tidak mahu 'berputih mata' ditunjukkan jalan keluar lebih awal kali ini.

Ia begitupun tidak semudah dijangka memandangkan Laos berjaya mengikat naib juara edisi 2010, Indonesia 2-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan B kelmarin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga melahirkan harapan Harimau Malaya akan bangkit esok.

Masih belum terlambat. Ini diakui sendiri oleh bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Khalid berkata, Harimau Malaya perlu segera bangkit mempamerkan watak sebenar selaku juara bertahan menentang Loas esok.

Skuad negara tidak boleh berselindung di sebalik alasan, sebaliknya mengatur taktikal baru bagi mengelakkan situasi mengucapkan selamat tinggal lebih awal.

"Sebagai juara bertahan, Malaysia sepatutnya menerbitkan rasa gerun kepada lawan, tetapi situasinya tidak sebegitu.

"Contohnya pada perlawanan semalam, pasukan kita tidak beraksi dengan sepenuh hati. Permainan sangat mengecewakan.

"Saya memang tidak sangka, pemain mempamerkan aksi sangat teruk," katanya.

Namun masih belum terlambat skuad Rajagobal bangkit mencatat keputusan membanggakan semasa bertemu Loas.

"Kita masih ada lagi dua perlawanan. Sudah tiba masanya untuk Harimau Malaya bangkit. Kemenangan ke atas Loas penting untuk mengembalikan moral para pemain.

"Jadi, setiap orang harus memperbaiki kelemahan dan jangan menunding jari kepada sesiapa," jelasnya.

Dalam pada itu, Khalid turut berharap pada perlawanan akan datang, pemain akan lebih bekerjasama dan kuatkan persefahaman dalam diri masing-masing.

"Sekarang ini, masalah bukan hanya kepada bahagian pertahanan, semua posisi mempunyai masalah.

"Pemain sering melakukan kesilapan yang kecil, apa yang jelas barisan pemain tidak bekerjasama antara satu sama lain dan kurang persefahaman.

"Oleh itu, baiki kelemahan dan fokus, jangan ulangi kesilapan yang sama sekali gus mengundang padah kepada kita," ujar beliau yang percaya Malaysia masih mempunyai harapan untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF.

"Sebagai bekas pemain saya tetap optimis namun skuad negara tidak boleh mempamerkan corak permainan seperti permainan sebelum ini kerana lawan jelas sudah mempamerkan peningkatan.

"Masih terdapat kelemahan lain, namun saya percaya jurulatih ada caranya yang tersendiri. Malah beliau sudah mengeluarkan kenyataan tidak panik, jadi biar beliau baiki kelemahan itu," katanya.

Malah Khalid menasihatkan pemain negara terus fokus melakukan persiapan kerana semangat berpasukan yang tinggi akan mengatasi semua cabaran dan rintangan.

Sementara itu, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, punca kekalahan skuad kebangsaan malam kelmarin berikutan kelemahan yang paling ketara di bahagian pertahanan.

"Mereka seolah-olah tiada koordinasi dan persefahaman terutamanya di bahagian tengah yang langsung tidak berperanan," katanya.

Selain itu, Faisal juga tidak menolak kemungkinan faktor kekalahan skuad kebangsaan mungkin disebabkan tekanan yang dihadapi oleh para pemain.

"Mungkin sebab atas faktor juara bertahan dan juga bermain di tempat sendiri, para pemain sedikit tertekan.

"Kita tahu harapan peminat dan negara yang terlalu tinggi kepada mereka, mungkin pemain sedikit tertekan dan hilang fokus.

"Bagaimanapun, saya masih percaya kemampuan anak buah Rajagobal, dan mereka akan bangkit," ujarnya.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Hassan Sani berkata, masih ada yang perlu diperbaiki oleh skuad Harimau Malaya sebelum bertemu Loas.

Bekas pemain sayap kiri negara berpendapat, kelemahan paling ketara yang perlu diperkemaskan ialah di bahagian pertahanan.

Katanya, kekuatan sesebuah pasukan bergantung kepada bahagian pertahanan yang kebal selain menyerap tekanan daripada pihak lawan.

"Pertahanan sangat longgar, mereka sering kehilangan bola dan akhirnya bola dikuasai oleh pihak lawan.

"Jadi, saya merasakan kemungkinan barisan pertahanan harus diubah dan selesaikan masalah ini sebelum masa masih ada," katanya.

Tambah Hassan, "bagaimanapun keputusan terletak kepada jurulatih, dan saya tetap menaruh kepercayaan kepada Rajagobal yang beliau mampu memikirkan corak yang terbaik pada perlawanan akan datang."

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada setiap kekalahan yang diterima oleh skuad kebangsaan harus mempersalahkan Rajagobal, Hassan bagaimanapun menyifatkan adat perlawanan mesti ada kalah dan menang.

"Bukan salah Rajagobal, beliau sudah melakukan yang terbaik demi negara.

"Lagipun, adatlah bagi peminat, sekiranya menang kita akan dipuji, sekiranya kalah, kita akan dimaki.

"Apa-apa pun, kita harus memberi semangat kepada mereka dan percaya mereka akan bangkit nanti," ujar beliau yang merasakan sejarah 2010 mungkin akan berulang.

"Bagi saya, skuad Harimau Malaya lambat panas, mungkin perlawanan kedua nanti mereka akan mengaum.

"Kita lihat pada 2010, Malaysia kalah 0-5 kepada Indonesia, kemudian kita seri dengan Thailand dan nasib membantu kita layak ke separuh akhir selepas Indonesia menang ke atas Thailand, jadi tidak mustahil sejarah akan  berulang. Sama-sama kita lihat dan berdoa untuk negara," ujarnya.

Tabung Kecemasan GAZA: Hulurkan Sumbangan anda

Tahukah anda apa yg berlaku di GAZA ketika ini?
Bumi berkat Palestin, GAZA diserang lagi oleh Israel.  Sejarah serangan Gaza 4 tahun yang lalu berulang kembali.
Apa sumbangan yang boleh kita lakukan untuk membantu saudara kita di Gaza?
Paling minina, doakan untuk saudara kita di sana. Sumbanglah apa sahaja yg anda mampu. Jgn kita hanya berdiam diri, mementingkan diri sendiri dan tidak melakukan apa2 yer
 
Sumbangan melalui SMS:
1. Taip PALESTIN RM10 / RM5 / RM3 / RM1
2. Hantar ke 39111
Contoh: PALESTIN 10 dan hantar ke 39111
 
Sumbangan melalui akaun Bank
(Aman Palestin Berhad)
Dana Sumbangan & Derma
Bank Islam: 12029010047880
Maybank: 562263010787
Bank Muamalat: 12070005133717
RHB Islamic Bank: 21245760004907
Bank Rakyat: 22-080-619592-2
Tabung Wanita & Kanak-Kanak Palestin | Bank Islam (M) Berhad: 1202-9010-0598-95
 
Untuk maklumat lanjut, sila layari:
Doa kami bersamamu GAZA

Kerja apa selepas universiti?

SEJAK kecil lagi anak-anak sering ditanya, "Sudah besar nanti hendak jadi apa?"
Soalan yang sangat klise ini boleh dikatakan ditanya kepada semua kanak-kanak, baik daripada ibu bapa si kecil itu atau orang terdekat mereka.
Mengapakah soalan itu ditanya? Soalan ini antara lain untuk memberikan bayangan kepada anak-anak bahawa suatu masa nanti, mereka akan besar dan bukan selama-lamanya menjadi kanak-kanak.

Soalan ini juga seolah-olah memberitahu kanak-kanak itu bahawa apabila besar nanti, mereka perlu bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup. Mungkin ada banyak lagi sebab lain mengikut penilaian masing-masing.

Berabad lamanya, tidak kira di mana saja, ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah demi mengubah nasib hidup dan membanggakan keluarga serta negara. Kalau tidak pun nasib ibu bapa, nasib anak itu sendiri.

Semakin moden, bukan hanya anak lelaki yang dihantar belajar tinggi-tinggi, tetapi juga anak perempuan. Kini dengan adanya sistem kelayakan, anak perempuan nampaknya lebih ramai yang menjejak kaki ke universiti. Namun kini, ada yang mengatakan menjadi lulusan universiti tidak menjanjikan apa-apa selagi empunya diri tidak berusaha meningkatkan diri untuk berjaya.

Baik lelaki atau perempuan, setelah seseorang anak itu berjaya menempatkan diri ke alam universiti, apakah harapan semua orang terhadap diri mereka?
'Semua orang' yang dimaksudkan ialah dirinya sendiri, ibu bapa, keluarga, orang terdekat dan ahli masyarakat secara amnya.

Tentu saja semua itu mengharapkan dia tamat pelajaran dan mendapat kerja yang baik, sekali gus dapat menyara hidupnya dan membantu keluarga.

Lulus dengan cemerlang perkara kedua. Tamat belajar dan seterusnya mendapat pekerjaan lebih utama. Itulah harapan yang menggunung tinggi.

Bagaimana sekiranya sudah lama menggenggam ijazah, tetapi belum juga mendapat kerja tetap? Jenuh mencari dan menghadiri sesi temu duga, tetapi tidak berjaya? Tentu saja kekecewaan bukan hanya melanda diri, tetapi ramai lagi pihak terbabit.

"Pelajar universiti adalah 'bahan asas' yang melalui proses kehidupan ketika di universiti, seterusnya ia mencorakkan masa depan kejayaan mereka mendapat kerja selepas itu. Sekiranya mereka gagal mendapat kerja, ia satu kegagalan yang menyeluruh. Mungkin kerana pensyarah, pentadbir dan industri. Mungkin kerana pelajar itu sendiri," kata Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Norsaadah Ismail.

Benar kata-kata itu. Semua pihak terbabit dalam menghasilkan pelajar yang berjaya dan kemudian mendapat kerja yang baik. Sekiranya kita menyedari hakikat berkenaan, kita tidak mudah menuding jari menyalahkan satu-satu pihak saja apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini.

"Kami melahirkan pekerja untuk industri jadi pihak industri harus membantu," kata Dr Norsaadah.

Beliau menjelaskan, pejabat Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri & Masyarakat (JIM), UiTM ditubuhkan pada 2007. Ia berhubung rapat dengan Alumni UiTM dan kini Pejabat Timbalan Naib Canselor bertukar nama kepada Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (JIM&A).

Pejabat JIM&A juga dikenali dengan nama singkatan ICAN dalam versi bahasa Inggeris. Visi Pejabat ICAN adalah untuk menjadikan UiTM sebuah universiti unggul yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik (asas dan gunaan).

Ini bagi melahirkan golongan Bumiputera yang dinamik, berdaya saing, beretika dan bertaraf dunia dalam semua bidang. Setelah itu, graduan UiTM berjaya menempatkan diri mereka di arena pekerjaan.

"Kami tidak mahu mengecewakan pelajar, ibu bapa dan kerajaan. Inilah harapan semua orang. Apabila anak itu dihantar ke universiti, semua orang mahu dia mendapat kerja dan membantu keluarganya semula. Bagaimana setelah bertahun-tahun belajar dan bergelar siswazah, anak itu tidak mendapat kerja terutama daripada keluarga susah

yang diharap dapat mengubah nasib keluarga? Bagaimana hendak mengubah kehidupan mereka tanpa pekerjaan?" katanya.

Keadaan inilah yang dibantu ICAN. Setiap fakulti dan kampus cawangan ada petugas khas yang ditugaskan untuk melihat kebolehan pasaran graduan. Mereka mengenal pasti fakulti yang memiliki graduan bermasalah untuk mendapat kerja.

"Satu persatu kami kenal pasti punca graduan menganggur serta peratusan yang tidak bekerja berdasarkan fakulti selain kursus yang mencatatkan paling ramai graduan tidak bekerja. Kami memastikan lebih 80 peratus graduan UiTM mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pelajaran," katanya.

Bagaimanapun, keadaan graduan yang tidak bekerja bukan semata-mata kerana mereka tidak diterima oleh pihak industri. Ada juga punca lain contohnya perkahwinan yang sering membabitkan graduan perempuan.

"Sekiranya graduan perempuan yang berkahwin, kami tidak begitu risau sebaliknya jika graduan lelaki tidak bekerja, itu yang merisaukan kami.

"Berkahwin atau tidak, graduan lelaki kena bekerja kerana mereka menyara keluarga. Tetapi ada juga graduan lelaki yang tidak bekerja makan gaji kerana mereka membuka perniagaan sendiri. Itu hal lain pula," katanya.

Menurut Dr Norsaadah, setiap fakulti harus mengkaji sehingga ke akar umbi sebab graduan kursus mereka tidak bekerja. Sekiranya ia membabitkan kurikulum,
maka kurikulum itu harus diubah.

"Pihak kami perlu berhubung rapat dengan industri yang memerlukan pekerja. Daripada situ kami tahu apa yang mereka mahu serta boleh membuat perubahan dan penyesuaian.

"Fungsi ICAN bukanlah mencarikan kerja untuk graduan sebaliknya membantu kes tertentu. Namun dalam pada itu, kami mahu pelajar tahu sebab industri tidak
mahu mengambil mereka bekerja. Mereka harus sedar sejak awal lagi dan kesedaran ini kami jelaskan di dalam kelas sejak mereka di semester pertama.

"Baru-baru ini saya bercakap dengan pelajar tahun satu. Saya beritahu mereka jangan sangka alam universiti sebagai sambungan kepada tingkatan lima. Alam universiti ini sesuatu yang berkait rapat dengan dunia pekerjaan yang bakal mereka lalui tiga tahun lagi," katanya.

Tambah Dr Norsaadah, Kementerian Pengajian Tinggi memang menekankan kepada pihak universiti supaya memastikan kurikulum yang ada memenuhi kehendak industri. Begitu juga kemahiran insaniah seperti kebolehan komunikasi, kerja berpasukan, keyakinan dan aspek lain yang perlu ada. Ini semua persediaan supaya pelajar tidak canggung untuk bekerja dan boleh menyesuaikan diri dengan mudah.

"Pasaran kerja tidak sekadar mencari siswazah yang lulus cemerlang, tetapi mereka juga harus ada kelebihan lain yang memikat bakal majikan. Kebolehan komunikasi dan bahasa Inggeris amat penting, begitu juga keyakinan," katanya.

Butiran lanjut mengenai fungsi pejabat ICAN boleh diperoleh di laman http://ican.uitm.edu.my.

Membaca di portal e-Sentral

KETIKA mula dilancarkan pada bulan September 2011 oleh syarikat Xentral Methods Sdn. Bhd., e-Sentral, buku elektronik (e-book) kurang mendapat sambutan di Malaysia kerana masih ramai yang tidak peka mengenai kewujudannya.
Rakyat negara ini waktu itu baru mengenali nama-nama portal e-book seperti Amazon Kindle, Apple iBooks dan Kobo. Melaluinya, pembaca boleh membeli dan membaca buku keluaran syarikat penerbitan dari luar negara.
Perkembangan teknologi yang begitu pesat dewasa ini secara signifikan telah membantu portal e-Sentral untuk menarik minat orang ramai yang meminati bahan bacaan e-book.
 
Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn. Bhd., Faiz Al-Shahab memberitahu, e-Sentral merupakan sebuah portal yang menyediakan pelbagai jenis buku dalam bentuk e-book dan boleh dibaca terus menerusi gajet canggih pembaca.
"Menerusi portal ini, setiap pembaca perlu memuat turun aplikasi e-Sentral pada gajet mereka secara percuma. Selesai memuat turun aplikasi tersebut, pembaca akan diberikan beberapa judul buku secara percuma sebagai percubaan.
"Portal ini juga menyediakan lebih 1,700 judul buku yang pada asalnya merupakan buku yang dicetak oleh syarikat penerbitan tempatan. Syarikat-syarikat ini kemudian telah berkolaborasi dengan pihak kami untuk menjadikan buku itu dalam bentuk e-book," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
 
Lebih murah
 
Aplikasi e-Sentral ternyata dekat dengan pengguna yang menggunakan gajet canggih dewasa ini kerana ia boleh digunakan pada sistem operasi IOS, Android, Cloud dan pada komputer peribadi mereka.
Format yang beroperasi pada aplikasi tersebut ialah e-pub dan ia merupakan format yang berbeza dengan format yang kebiasaannya digunakan pada e-book iaitu PDF.
 
Format e-pub berupaya melindungi setiap e-book pada aplikasi itu daripada diciplak atau disalin oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu, pengguna juga diberi kebebasan untuk memilih judul buku yang ditawarkan oleh portal itu.
"Setiap judul buku yang ditawarkan pada portal ini terbahagi kepada dua iaitu e-book percuma dan e-book berbayar.
"Namun, pengguna tidak perlu risau kerana e-book yang dijual menerusi portal ini jauh lebih murah daripada harga buku yang dicetak dan dijual di pasaran, malah ada yang dijual serendah RM5," jelas Faiz.
 
Tambahnya, fokus utama portal berkenaan adalah untuk mempromosikan buku tempatan terutamanya buku Bahasa Melayu dalam bentuk e-book.
Pengguna tidak perlu risau mengenai langkah-langkah perlindungan pada aplikasi itu kerana seorang pengguna boleh menggunakan tiga akaun berbeza pada tiga gajet milik mereka.
Antara syarikat penerbitan tempatan yang telah menyumbangkan karya di portal itu ialah Karnadya Solutions Sdn. Bhd., Pelangi, Hijjaz Record, Marshall Cavendish dan Buku Fixi.
 
Tidak hanya mempromosikan buku-buku novel yang menjadi kegemaran remaja, e-Sentral juga menawarkan buku-buku ilmiah daripada syarikat penerbitan Universiti Malaya untuk dijadikan rujukan oleh golongan profesional.
"Portal ini juga memberi peluang kepada penulis-penulis bebas untuk menghasilkan karya mereka melalui e-book tanpa mengeluarkan modal untuk pencetakan.
"Ini merupakan salah satu cara untuk kami mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang penulisan negara untuk dipromosikan menerusi portal ini," ujar Faiz.

Ferrari pernah dimiliki Ronaldo dilelong

LONDON - Sebuah kereta sport Ferrari 599 GTB Fiorano yang pernah dimiliki bintang bola sepak Real Madrid, Cristiano Ronaldo ditawarkan untuk dijual pada harga £40,000 (RM196,155), lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Ronaldo, 27, membeli kereta itu dengan harga £200,000 (RM980,775) pada tahun 2008.
Nilainya jatuh merudum kerana bahagian hadapan kereta itu remuk selepas ia merempuh dinding sebuah terowong pada 9 Januari 2009 dekat Lapangan Terbang Manchester di Manchester.
Ronaldo hilang kawalan semasa dia memandu kereta itu semasa dalam perjalanan untuk berlatih dengan rakan-rakan pasukan kelab Manchester United.
Keretanya merempuh penghadang jalan sebelum melanggar dinding terowong itu.
Kereta sport berwarna merah itu kini disimpan di pekarangan sebuah syarikat pengedar kereta di Duppigheim, Perancis.
Kereta itu menggunakan enjin V12 dan mampu mencecah kelajuan sehingga 330 kilometer sejam. - Agensi

Piala AFF - Apa sudah jadi Rajagobal?

SKUAD 'eksperimen' pun tewas, inikan pula ujian sebenar. Ternyata, reputasi selaku juara bertahan Piala Suzuki AFF hanya tinggal sejarah buat Malaysia apabila gagal dalam ujian sulung kempen kali ini sebaik 'dikerjakan' Singapura 0-3 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Dua gol ledakan kapten Singapura, Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37 serta jaringan lewat Aleksandar Duric pada minit ke-75 sudah cukup untuk menyedarkan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal supaya kembali 'berpijak di bumi nyata' andai mahu kekal bergelar juara kali ini.
Apa yang pasti, alasan Rajagobal yang kononnya sekadar tampil dengan skuad 'eksperimen' ketika melakar beberapa keputusan kurang memberangsangkan dalam siri persahabatan sebelum ini benar-benar terjawab malam tadi apabila anak-anak buahnya masih 'kekeringan idea' memburu jaringan.
Lebih mengecewakan, ribuan penyokong di stadium dilihat menjerit melaungkan 'Rajagobal, apa yang engkau buat?' sebaik perlawanan berakhir sebagai tanda protes terhadap persembahan hambar skuad negara malam tadi.
 
Biarpun tidak seteruk seperti mana dibelasah 1-5 Indonesia dalam edisi dua tahun lalu, apa lagi alasan yang cuba diterjemahkan Rajagobal kali ini memandangkan Harimau Malaya sepatutnya tampil memelihara maruah selaku tuan rumah edisi kali ini.
Harimau Malaya terlebih dahulu bermula garang seawal minit ketujuh namun percubaan Norshahrul Idlan Talaha yang berjaya menggelecek beberapa pemain pertahanan Singapura berjaya ditepis penjaga gol lawan, Mohamad Izwan Mahbud.
Sorakan lebih 50,000 penyokong Harimau Malaya sekali lagi bergema pada minit ke-19 namun rembatan Norshahrul sekadar melambung tinggi sebelum Mohamad Izwan sekali lagi berjaya menangkap kemas sepakan percuma kapten Malaysia, Safiq Rahim empat minit kemudian.
Di sinilah 'malapetaka' Harimau Malaya bermula. Keghairahan tuan rumah memburu gol awal akhirnya dihukum Shahril yang tenang menyempurnakan hantaran jauh Shaiful Esah Nain pada minit ke-32 untuk gol pembukaan Singapura.
 
Shahril sekali lagi menjadi 'duri dalam daging' Malaysia apabila menggandakan kelebihan Singapura lima minit kemudian.
Gol itu berpunca daripada kesilapan bakal 'Raja Sehari', Khairul Fahmi Che Mat yang gagal menumbuk kemas sepakan percuma Shahdan Sulaiman sebelum percubaan Mohd. Fadhli Shas mengeluarkan bola daripada atas garisan gol juga tidak menjadi apabila pantas disambar Shahril untuk gol kedua Sang Singa.
Biarpun kemasukan pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor sebaik babak kedua bersambung dilihat menyuntik corak serangan Harimau Malaya, ketumpulan jentera penyudah negara masih mengundang amarah ribuan penyokong di stadium dan juga di rumah apabila berkali-kali mensia-siakan peluang keemasan bagi merapatkan kedudukan.
 
Peluang terbaik Malaysia memecah kebuntuan sekali lagi hadir pada minit ke-69 namun Safee Sali gagal menyambut hantaran Wan Zack biarpun Izwan sudah tertewas.
Percaturan jurulatih Singapura, Radojko Avramovic memasukkan Duric selaku pemain gantian juga menjadi apabila kuda tua itu tenang menanduk masuk gol ketiga lawan pada minit ke-75 hasil kelam-kabut di depan pintu gol negara sekali gus melengkapkan mimpi ngeri Harimau Malaya.
Apa yang pasti, anak-anak Rajagobal wajib bangkit ketika berdepan Laos, Rabu ini jika tidak mahu 'berputih mata' ditunjukkan jalan keluar lebih awal kali ini.
Ia begitupun tidak semudah dijangka memandangkan Laos berjaya mengikat naib juara edisi 2010, Indonesia 2-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan B petang semalam.
Gol-gol Laos dalam perlawanan itu diledak menerusi sepakan penalti Khampheng Sayavutthi pada minit ke-26 dan Keoviengpheth Lithideth (79) sementara Raphael Guillerm Maitimo dan Vendry Ronaldo Mofu pula masing-masing mencetak satu gol buat Indonesia pada minit ke-42 dan 89.
Kedua-dua pasukan juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pengadil dari Hong Kong, Ng Kai Lam melayangkan kad merah kepada penjaga gol Garuda, Endra Prasetya dan juga pemain Laos, Sopha Saysana pada pertengahan babak pertama gara-gara kekasaran melampau terhadap pemain lawan.

Gaza - Sumpah Ariel Sharon....

"Saya bersumpah, saya akan bakar setiap bayi dilahirkan di Palestin. Wanita dan kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding lelaki dewasa. Selagi mereka masih kelihatan, ia menunjukkan generasi itu akan berterusan..."

Inilah sumpah janji Ariel Sharon pada 1956. Daripada ucapannya ini, tahulah kita kenapa Israel sehingga hari ini sengaja sasarkan roketnya ke arah penempatan padat di Palestin. Tujuannya jelas, mahu menunaikan sumpah Ariel Sharon. Menghapuskan pewaris di bumi Palestin.

Bagi Israel, ancaman kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding pemuda dewasa. Betapa tidak, di usia masih muda, kanak-kanak Palestin sudah ramai mampu menghafal al-Quran. Perkara ini menjadi momok luar biasa menakutkan Israel. Mereka menilai kanak-kanak generasi penerus perjuangan Palestin yang akan menentang berdirinya negara Zionis Israel.

"Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri." (H.R Bukhari dan Muslim).

Bagi umat Islam, antara sesama Muslim ibarat satu tubuh. Jika satu disakiti, maka yang lain juga menderita. Dan bagi sesama manusia pula, tidak kira bangsa dan agama, jika ada nilai kemanusiaan yang tulen, derita orang lain, setidaknya ada rasa kasihan terdetik di jiwa.

Jadi, sudah tentu menjadi kewajiban kita semua membantu segenap warga Palestin yang ditimpa musibah dan bencana akibat sumpah kerakusan Zionis Israel yang mahu melenyapkan anak-anak Palestin di negara kiblat pertama itu.

Bantuan boleh kita berikan dengan doa yang khusyuk kepada ALLAH, meminta kepada-NYA agar saudara kita diberi kekuatan hati dan sentiasa dalam lindungan-NYA; memberi sumbangan berupa wang dan sokongan moral serta sumbangan lain yang mereka perlukan.

Mari kita kikis sifat acuh kita agar peduli kepada saudara-saudara kita di Palestin. Ketika ini, kita mungkin asyik duduk di ruang berhawa dingin, menonton rancangan TV kegemaran dan bergurau senda dengan keluarga.

Sementara di Gaza, mereka berteduh di rumah bocor atap dan dindingnya; meratap di katil hospital menanggung sakit, berjaga-jaga menunggu serangan Israel yang entah bila benar-benar berakhir.

Exco Kelantan: 'Hak Karpal jika mahu saman MPKB'

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan tetap bertegas melaksanakan perundangan Islam kepada orang bukan Islam meskipun mendapat tentangan daripada Pengerusi DAP Karpal Singh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri sedia menerima risiko untuk disaman oleh bukan Islam kerana setiap dasar yang dibuat kerajaan negeri selari dengan peruntukan Perlembagaan.

"Saya tak nak komen kenyataan Karpal. Pertamanya sebab saya tak dengar secara direct (langsung), keduanya,  kalau Karpal tengok akta ini, dia akan setuju dengan sayalah. Dia pun peguam.

"Itu hak dia nak saman Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB), tapi baca undang-undang itu elok-elok sikit... nanti kita (Karpal) pula yang kena bayar kos. Kita bukan pandai-pandai begitu sahaja masa nak buat undang-undang atau akta," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat MPKB di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Karpal Singh menggesa Kerajaan Pas Kelantan supaya menjelaskan perkara sebenar mengenai tindakan perundangan Islam yang dikenakan ke atas orang bukan Islam di negeri itu.

Karpal berkata, orang bukan Islam Kelantan yang dikenakan tindakan saman berdasarkan undang-undang Islam, boleh mencabar saman terbabit di mahkamah.

Pengerusi DAP itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai keluhan seorang pengurus kedai gunting rambut di Kota Bharu, Ong Lee Ting, yang mendakwa beliau disaman 11 kali oleh pihak berkuasa tempatan kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam sejak 2010.

Akibatnya, dia didenda antara RM200 hingga RM350 dan mendakwa ramai lagi pemilik kedai gunting turut menghadapi perkara sama.

Takiyuddin bagaimanapun menjelaskan bahawa kerajaan negeri melaksanakan dasar itu sebagai langkah menjaga maruah wanita, sama ada Islam atau bukan Islam daripada mengalami gangguan seksual dan terjebak dalam kancah pelacuran.

"Kedai gunting rambut seringkali dilaporkan hanya menjadi topeng perniagaan sahaja di hadapan, tapi di belakang (ia) jalankan perniagaan yang bercanggah dengan undang-undang dan moral.

"Adakah seorang ayah rela anak perempuannya diganggu (ketika bekerja), apatah lagi suami yang rela isterinya diganggu oleh pelanggan-pelanggan lelaki misalnya?" tanya beliau. - Bernama

Piala AFF: Rajagobal kecewa prestasi Apex

KETUA jurulatih Datuk K. Rajagobal kecewa dengan persembahan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang menjadi punca kekalahan 0-3 kepada Singapura pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Beliau berkata, kesilapan yang dilakukan oleh Khairul Fahmi yang dikenali dengan nama 'Apek' pada separuh masa pertama menyebabkan moral pemain pasukan kebangsaan terus merosot namun beliau memuji kebangkitan yang ditunjukkan pada separuh masa kedua.

"Dia (Khairul Fahmi) membuat kesilapan dan memberi kesan kepada moral pemain... sejujurnya saya tidak menyangka kita akan tewas dengan keputusan malam ini (tadi).

"Saya cuma menjangkakan kita kalah dengan keputusan 0-1 atau seri dengan pasukan Singapura," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Tiga gol skuad Singapura dijaringkan oleh kapten pasukan, Mohd Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37 serta pemain naturalisasi dari Bosnia, Aleksandar Duric pada minit ke-75.

Mengulas lanjut, Rajagobal berkata, keputusan tersebut memberikan kesukaran kepada mereka untuk mencari mata bagi melepasi peringkat kumpulan.

"Kita harus menempuhi jalan sukar selepas ini dan suka atau tidak, kita perlu mencatatkan kemenangan dalam dua baki perlawanan," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Singapura Radojko Avramovic berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dan berharap skuadnya dapat terus mengekalkan momentum dalam menentang Indonesia Rabu ini dan Laos pada 1 Disember ini.

"Ini adalah permulaan baik dan saya tabik anak buah saya atas usaha cemerlang mereka. Kadang-kadang kami bernasib baik untuk menghasilkan jaringan dan adakala sebaliknya," katanya.
Mengulas pertemuan antara Laos dan Indonesia sebelum ini, Avramovic berkata beliau terkejut dengan prestasi Laos yang berjaya mengikat lawannya 2-2.

"Secara umum, Laos mengejutkan saya. Saya percaya mereka datang untuk memenangi semua perlawanan dan tenaga yang ditunjukkan oleh Laos pada perlawanan pembukaan adalah hebat," katanya.

Malaysia, selaku juara bertahan akan menentang Laos Rabu ini sebelum mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan menentang Indonesia pada 1 Disember ini.  - Bernama

Bantuan rakyat Malaysia sampai 48 jam ke Gaza

Sebagai salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam membantu rakyat Palestin, Aman Palestin Malaysia tidak pernah kenal erti putus asa dalam usahanya menyalurkan bantuan di Gaza.
Sinar Harian berkesempatan menemubual Ketua Pengarah Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut berhubung bagaimana NGO ini beroperasi, sempena majlis penyerahan sumbangan Yayasan Nur Karangkraf ke Tabung Kemanusiaan Gaza Sinar Harian di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam. Ikuti temu bual oleh Wartawan, Haslina Kamarudin dan Jurugambar Mohd Shafuan Mohd Sabri.

Apakah peranan Aman Palestin?
Kami adalah sebuah NGO, bergerak bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis Israel. Kami juga mempunyai pejabat (Bandar Gaza) yang akan memantau setiap permasalahan di sana. Kerajaan Mesir juga sudah mengiktiraf kami sebagai duta kecil Malaysia di sana. Setiap maklumat yang diterima akan dimaklumkan ke sini. Selepas itu, barulah langkah seterusnya dilakukan iaitu mencari bantuan bagi meringankan kesengsaraan mereka.

Adakah bantuan yang disalurkan hanya berbentuk wang atau boleh memberikan keperluan harian seperti makanan dan pakaian?
Adalah lebih baik sumbangan itu berupa wang. Jika ada yang berhasrat untuk memberikan barang keperluan asas, agak sukar untuk kami membawanya ke sana. Banyak prosedur yang harus dilalui seperti proses perlesenan. Tambah sukar untuk membawa keperluan ubat kerana ia perlu diisytiharkan dan perlu diperincikan. Jadi, untuk mudah, membeli dari Gaza adalah lebih mudah dan cepat. 

Dengan sumbangan yang diterima, bagaimana proses saluran wang dilakukan?
Kami tidak akan membawa wang secara aliran tunai ke sana. Apabila Aman Palestin (Malaysia) menerima wang sumbangan, transaksi akan dilakukan menerusi bank ke bank. Di sana kami menggunakan perkhidmatan Bank Al-Quds. Ia memakan masa selama 48 jam dan barulah Aman Palestin (Bandar Gaza) akan menerima wang tersebut. Proses transaksi adalah cara terbaik, ini bagi memastikan semua kerja dilakukan dengan telus kerana setiap transaksi terdapat penyata.

Berapa ramai pegawai Aman Palestin Di Gaza?

Kami mempunyai lima pegawai Aman Palestin di Gaza terdiri daripada rakyat tempatan yang bekerja secara sukarela. Mereka ini adalah graduan tempatan dan ada juga yang lulusan dari Universiti di Jerman dalam bidang kejuruteraan. Selain itu, kami juga turut menjalin kerjasama dengan lebih 300 NGO tempatan di sana.
 
Bagaimana pembahagian wang dana diagih-agihkan di sana?
Pegawai kami akan dimaklumkan mengenai barang keperluan daripada beberapa kementerian di sana. Wang akan diberikan kepada kementerian terbabit, dan mereka sendiri akan melakukan proses pembelian barang keperluan.

Adakah wang diberikan secara tunai?
Tidak. Semua yang melibatkan wang adalah lebih selamat menggunakan sistem transaksi sahaja. Jadi, setakat ini, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran di Gaza adalah dua badan yang mengalami masalah paling kritikal, memandangkan mangsa perang semakin ramai. Dua kementerian ini akan mengeluarkan senarai keperluan kepada aman Palestin, kemudian akan memulakan proses membeli keperluan tersebut seperti peralatan perubatan dan keperluan persekolahan menerusi dalam talian. Ia mudah dan cepat. Semua proses pembelian atau tempahan dilakukan oleh kementerian tetapi bayaran akan dibuat oleh Aman Palestin.

Dari mana sumber bekalan tersebut diperoleh?
Kementerian-kementerian yang terlibat akan membeli dari Gaza atau membuat tempahan ke negara Mesir kerana semua keperluan yang dikehendaki. Biasanya untuk keperluan perubatan, ia akan dibuat oleh Persatuan Kedoktoran. Ini kerana, segala ubat-ubatan atau keperluan adalah merangkumi untuk semua hospital dan klinik di Gaza. Setakat ini Mesir antara negara yang mempunyai cukup keperluan bekalan terutamanya stok ubat dan keperluan harian. 

Berapa lama tempoh masa untuk keperluan tersebut sampai?
Kebiasaannya, ia mengambil masa sekitar 12 jam. Paling lewat adalah 24 jam untuk keperluan sampai. Ini bermakna, tempahan harus dilakukan pada tempoh waktu pejabat bagi mendapat bekalan kurang tempoh sehari.

Bagaimana pula proses penerimaan barang keperluan tersebut?
Barang keperluan tersebut akan dihantar oleh syarikat pembekal Mesir melalui jalan darat. Ia akan melalui pintu Rafah dan terus kepada kementerian terbabit. Setibanya di sini, ia akan diedarkan kepada hospital atau klinik. Aman Palestin bertindak memantau proses tersebut.

Adakah sebarang kesukaran sewaktu proses tersebut?
Sejak Aman Palestin ditubuhkan iaitu pada tahun 2004 sehingga kini, tidak pernah berlaku sebarang masalah seperti keperluan tidak sampai, wang tidak diterima atau sebagainya. Namun, seperti yang dijelaskan, kerajaan Hamas telah menetapkan dua syarat iaitu hentikan sekatan dan tiada lagi penahanan dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin. Jadi, proses membawa keperluan barangan menjadi mudah. Aman Palestin tetap memantau setiap proses dari dekat bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Selain Aman Palestin, negara manakah yang turut menyumbang kepada Palestin?
Rakyat Palestin turut menerima bantuan dana daripada seluruh dunia. Setakat ini, persatuan daripada Turki adalah negara paling banyak menyumbang iaitu $22 juta setahun, diikuti negara rantau Arab seperti Mesir iaitu $14 juta setahun. Malaysia menyumbang $3 juta setahun.
 
Adakah tugas lain Aman Palestin selain memantau pergerakan wang dan keperluan di sana?
Tugas Aman Palestin adalah berbentuk bantuan segera. Malah, kami turut turun padang dan pergi ke rumah-rumah mangsa perang dan memberikan susu kepada kanak-kanak. Kami juga turut mengagihkan selimut kerana di sana sedang dilanda musim sejuk. Kami bergerak bersama NGO lain di sana.
 

Apakah perancangan selanjutnya Aman Palestin?
Tugas membantu tidak ada hadnya, dan kami akan terus membantu rakyat Palestin dengan bantuan masyarakat Malaysia. Terbaru, kami akan berangkat ke Gaza pada 7 Disember depan. Kami mensasarkan akan dapat menarik seramai 200 orang untuk sama-sama membantu. Mereka perlu membayar sejumlah RM7,500 bagi menampung kos penerbangan, tempat tinggal dan makanan sepanjangan seminggu berada di sana. Jika tiada aral, kami akan pulang pada 13 Disember.   

'Ini cara kami cegah gejala maksiat'

PADANG SERAI - Dalam keadaan banyak pasangan remaja terus leka bercinta, Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dan Nur Fazira Saad, 12, mengambil jalan nekad dan berani untuk berkahwin bagi menguji sejauh mana kesetiaan mereka menghadapi cabaran hidup bersama.
Mereka telah dinikahkan oleh Imam Masjid As-Sobirin Padang Cina di sini, Mohd. Nazar Husain pada 17 November lalu sebelum mengadakan majlis kenduri yang dihadiri kira-kira 200 tetamu di rumah pengantin lelaki di Kampung Naga Lilit di sini semalam.
 
Menurut Mohd. Fahmi, perkahwinan adalah jalan penyelesaian terakhir bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.
"Saya berkahwin awal bagi mengelak timbul perkara buruk. Ini cara terbaik untuk kami mencegah maksiat," katanya yang bersyukur keluarga isterinya memberi keizinan kepada mereka untuk bernikah.
Mohd. Fahmi yakin pendapatannya sebanyak RM1,000 sebulan hasil bekerja membantu bapanya menguruskan kebun kelapa sawit cukup untuk menampung kos kehidupan bersama Nur Fazira.
Isterinya itu yang akan mencapai usia 13 tahun pada 24 Disember ini pula yakin mampu melaksanakan tanggung jawab baharu sebagai isteri.
"Apa yang penting ialah kasih sayang. Pasal anak kami belum fikirkan lagi," katanya.
 

Jenazah Arafat digali Selasa ini

RAMALLAH - Jenazah bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat akan digali pada Selasa ini bagi mengenal pasti punca kematian Allahyarham lapan tahun yang lalu.

Yasser meninggal dunia di hospital tentera di Perancis pada November 2004, kira-kira sebulan selepas jatuh sakit.

Pemimpin Palestin dan isteri Allahyarham mendakwa Yasser kemungkinan telah diracuni.

Awal tahun ini, dokumentari krew Switzerland mendakwa ada kesan radioaktif pada pakaian Yasser, menguatkan lagi spekulasi Allahyarham kemungkinan meninggal dunia kerana diracuni.

Tawfik Tirawi yang mengetuai pasukan penyiasat Palestin berkata, pakar perubatan dari Switzerland, Perancis dan Rusia akan mengambil sampel dari tulang Yasser dan akan menguji sampel di negara masing-masing.

Menurut Tawfik, jenazah Yasser akan dikebumikan pada hari yang sama dengan diberikan penghormatan tentera tetapi tidak dibuka kepada awam.

Kerja-kerja menggali tempat Allahyarham dikebumikan dimulakan dia minggu lalu.

Haram cetak rompak jadi modal perniagaan

SEHINGGA hari ini, boleh dikatakan masih ramai tertanya-tanya atau ragu dengan isu bahan ciplak atau nama lainnya barangan cetak rompak yang kini semakin banyak disalin secara tidak sah.
Walaupun ada halaman buku yang ingin disalin cetak tertulis perkataan 'Hakcipta Terpelihara' serta 'Tidak Dibenar Ulang Cetak', masih ramai tidak mengendahkannya dan terus membuat salinan, khususnya membabitkan salinan fotostat.
Kita lihat hari ini, perkara ini terlalu biasa dalam kehidupan seharian umat Islam. Sehingga ada yang menjadikan cara ini sebagai modal perniagaan mereka.

Terutama pada musim harga minyak dan barangan semakin meningkat, semua perkara yang dikira mampu menjimatkan kos akan menjadi pilihan ramai hingga kerap melupakan pandangan Islam atau hukumnya.

Bagaimanakah sebenarnya pendirian Islam dalam hal ini? Adakah terus mengharamkannya tanpa bicara?

Sampai kepada saya satu soalan seperti berikut: "Ustaz, saya menjalankan perniagaan fotokopi dan percetakan komputer secara kecil-kecilan di sebuah universiti awam. Masalahnya, saya menggunakan perisian Windows dan Microsoft Office yang cetak rompak. Saya tahu tindakan saya salah, tetapi harga tulen terlalu mahal.

"Saya harap dapat ustaz jelaskan hukum pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan perisian cetak rompak dan harap dapat ustaz berikan jalan untuk saya selesaikan masalah ini."

Saya rasa jawapannya sudah jelas apabila orang yang bertanya itu sendiri mengerti bahawa ia salah. Ini kerana, harta intelek diiktiraf Islam sebagaimana difatwakan ulama sedunia sebagai harta persendirian yang terpelihara.

Justeru, kita tidak boleh mengambil dan menggunakan produk cetak rompak, khususnya apabila perisian itu digunakan untuk diniagakan, sebagai contoh dibuat salinan demi salinan dan dijual pada harga rendah.

Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai tulang belakang perniagaannya, perniagaan itu adalah haram, hasilnya juga haram.

Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, iaitu yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram)." (Ar-Rawdu Al-Murabba', Riwayat Ibn Hibban)

Rasulullah SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain yang haram bagi umat Islam, mereka (Yahudi) membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya.

Apabila Rasulullah SAW mendapat tahu, baginda terus berkata: "Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini, apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya." (Riwayat Al-Bukhari)
Hasil daripada kumpulan hadis ini, bentuk tindakan dilakukan yang ingin saya tekankan adalah, ia sama seperti cetak rompak kerana haram daripada sudut hukum Islam.

Ia berdasarkan keputusan Majlis Kesatuan Ulama Sedunia (Majma Fiqh Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi.

Mungkin ada yang berhujah bahawa perisian Windows itu adalah milik seorang kafir yang merujuk kepada Bill Gates dan tiada masalah untuk menggunakan yang cetak rompak selain ada juga yang menyatakan beliau terlalu kaya, oleh itu penggunaan bahan berkenaan tidak memberi apa juga kesan pada kekayaannya.

Sebenarnya, hujah ini meleset dan tertolak dalam fiqh Islam kerana Muslim tidak dibenarkan mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika di Iraq).

Dalam keadaan tiada peperangan fizikal yang jelas, perisian Windows harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa saja dicerobohi sesuka hati.

Dalilnya terlalu banyak, iaitu paling mudah apabila Rasulullah SAW dan sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi serta kafir Musyrik. Semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan mencerobohi dan mesti membelinya dengan cara halal.

Namun begitu, menurut sebahagian ulama, jika pelajar ingin menggunakan perisian untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan, terutama jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang tulen.

Sedangkan dia memerlukan komputer dan sesuatu perisian khas untuk tujuan pembelajarannya, tatkala itu, ada ulama mengharuskan atas asas:

  • 'Hajat Mendesak' dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah Fiqh: Ertinya: "Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak, sama ada ia berbentuk umum atau khusus." (Al-Ashbah Wa An-Nazair)

  • Hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan untuk tujuan komersial

  • Bertempoh. Ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, dia perlu membeli yang tulen

    Demikian juga halnya keadaan pelajar di universiti. Sebagai contoh, ada pensyarah menjadikan buku tertentu sebagai 'silibus' dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga lima atau enam buku digunakan.

    Sudah tentu pelajar tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli buku yang mungkin tebal dengan harga tinggi.

    Lalu tatkala itu, pelajar dibenarkan membuat salinan fotostat halaman tertentu yang berkait dengan pembelajarannya. Maka, pada waktu itu ia diharuskan.

    Kembali kepada keadaan seperti dinyatakan, jika benar seseorang itu menghadapi kesukaran wang (hanya beliau dan Allah yang tahu) untuk membeli perisian tulen yang mahal harganya berbanding kemampuannya, maka ada keringanan untuk beliau menggunakan produk tiruan itu dulu buat sementara waktu.

    Ketika perniagaan seseorang itu sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil serta tiada lagi keperluan mendesak, tatkala itu wajib untuk bertukar dan membeli yang tulen.
  • Joe Luis Saenz Orang paling dikehendaki FBI ditangkap

    MEXICO CITY: Seorang daripada "10 orang paling dikehendaki" oleh FBI, ditahan di Mexico dan dihantar pulang ke Los Angeles untuk dibicara atas kesalahan membunuh, menculik dan memperkosa, kata pegawai Amerika Syarikat, semalam.
    Timbalan Pengarah Pejabat FBI Los Angeles, Bill Lewis berkata, seorang anggota geng terkenal, Joe Luis Saenz ditahan di Guadalajara Khamis lalu dalam satu operasi bersama dengan kerajaan Mexico.
    Saenz dihantar ke Los Angeles kelmarin dan pegawai Mexico berkata proses ekstradisi akan bermula dalam beberapa hari lagi.

    Saenz menembak mati dua anggota kumpulan pesaing pada Julai 1998. - AFP

    Piala AFF Suzuki 2012 - Harimau Malaya sedia mengaum

    SKUAD Harimau Malaya sudah bersedia berdepan Singapura pada aksi pembukaan Kumpulan B kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
    Biarpun pertemuan kedua-dua pasukan dalam 12 perlawanan terakhir lebih memihak kepada Singapura yang melakar enam kemenangan, Harimau Malaya tidak mahu menjadikan rekod itu sebagai 'batu penghalang' bagi memburu kemenangan.
    Sebagai rekod, Harimau Malaya yang tampil selaku penyandang juara pada kempen kali ini berjaya mengalahkan Singapura 2-0 pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, 12 Jun lalu.
    Bagi pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, beliau mengakui sudah cukup 'masak' dengan rentak permainan Singapura yang dibimbing Radojko Avramovic.
    Begitupun, Rajagobal lebih cenderung untuk memberikan perhatian kepada corak permainan anak-anak buahnya berbanding memikirkan taktikal Singapura, juara tiga kali Piala Suzuki AFF.
    "Setakat ini, persiapan kami sungguh rapi dan semua pemain berada dalam keadaan baik dan oleh itu, kami berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi Singapura pada perlawanan esok (malam ini).
    "Setiap jurulatih mempunyai pendekatan tersendiri apabila menghadapi perlawanan penting dalam kejohanan ini, namun saya tetap yakin dengan semua pemain (Harimau Malaya).
    "Saya akan tunggu dan lihat kejutan yang akan dipamerkan Singapura kepada kami," kata Rajagobal kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus-pengurus pasukan di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan semalam.
    Menurut Rajagobal, kedua-dua pasukan saling memahami corak permainan masing-masing, sekali gus aksi malam ini bakal menjanjikan saingan sengit.
    "Saya amat mengenali semua pemain mereka (Singapura) dan saya menjangkakan, tiada banyak kejutan daripada mereka.
    "Bukan sahaja saya, malah jurulatih mereka (Avramovic) juga arif dengan corak permainan kami. Apa yang lebih mustahak, kami akan turun beraksi dengan keyakinan yang tinggi.
    "Selalunya perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan akan berlangsung dengan sengit dan saya meramalkan aksi yang sama esok (malam ini)," tambahnya.
    Selepas menentang Singapura, Harimau Malaya akan berdepan dengan Laos manakala Singapura bakal membuat perhitungan dengan naib juara 2010, Indonesia pada 28 November ini.

    Cermin mata pintar buat si buta

    TONGKAT dan anjing mungkin tidak lagi digunakan menjelang 2015 kelak dengan adanya cermin mata khas buat orang buta.

    Menurut pakar Universiti Oxford, Dr Stephen Hicks, alat bantuan melihat itu direka untuk menghalang seseorang yang berada dalam peringkat permulaan buta menjadi buta kekal.

    "Beberapa kamera stereoskopik kecil dimasukkan ke dalam lapisan cermin berkenaan kemudian pemakainya dapat melihat dengan jelas apa sahaja objek di hadapan," Hicks yang juga pencipta alat bantuan melihat ini.

    Bagaimanapun, Hicks berkata, alat bantuan khas itu perlu menjalani beberapa ujian bermula Januari depan melibatkan 160 sukarelawan bermasalah penglihatan di Oxford dan London.

    Beliau menambah, selain membantu seseorang yang buta melihat dengan jelas, kos untuk memiliki sepasangan cermin mata itu jauh lebih murah iaitu £600 (RM2,943) berbanding kos melahit anjing pemandu mencecah £30,000 (RM147,157) .  -  MailOnline