Pages

Insentif Peningkatan Hasil Padi Dibayar Menjelang Aidilfitri – Noh Omar

ROMPIN, 5 Julai – Kerajaan bersetuju membayar tunggakan insentif peningkatan tanaman padi berjumlah RM117 juta kepada 73,000 pesawah di seluruh negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata tunggakan insentif berkenaan sejak 2007, dijangka dibayar kepada pesawah menjelang Aidilfitri ini.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM117 juta untuk dibayar kepada pesawah yang belum menerima insentif berkenaan.
 
"Ini kerana peruntukan RM110 juta sebelum ini tidak cukup dibayar kepada pesawah yang berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi mereka," katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan bersama pesawah kawasan Parlimen Rompin di sini hari ini.
Turut hadir Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.
Noh berkata kerajaan juga bersetuju meneruskan dasar jaminan bekalan makanan sehingga tahun-tahun akan datang demi keprihatinan terhadap petani dan pesawah.
"Dasar tersebut sepatutnya tamat tahun lepas tetapi bagi menjaga kebajikan petani, dasar tersebut diteruskan tahun ini dan diharap dapat diteruskan ke tahun-tahun akan datang," katanya.
 
Beliau berkata kerajaan yang prihatin dengan nasib pesawah di kawasan Rompin yang tidak mendapat subsidi harga padi dan bantuan lain, bersetuju member kesemua bantuan tersebut pada musim menuai akan datang.
"Dalam lawatan kerja hari ini, saya dapati ramai pesawah di sini yang mengusahakan sendiri sawah mereka tidak mendapat sebarang bantuan atau pun subsidi daripada kerajaan kerana tidak mempunyai geran tanah sawah.
 
"Jadi sekarang, semua pesawah walaupun tiada geran tanah, tetapi ada bukti dia mengusahakan sawah padi, layak mendapat bantuan dan subsidi berkenaan," katanya bahawa kira-kira 2,000 pesawah di Rompin mengerjakan sawah seluas 3,000 hektar tanpa geran tanah sawah.
Noh berkata sebuah jawatankuasa bersama antara kementeriannya dan Bahagian Saliran dan Pengairan Pertanian akan berbincang dengan pesawah kawasan itu mengenai masalah dan pembaikan pengairan sawah padi.
"Terdapat masalah pada sistem pengairan di beberapa kawasan yang kita buat pada 2009. Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi berbincang dan mencari jalan bagi memastikan sistem pengairan itu dapat berfungsi dengan lebih berkesan dan memudahkan pesawah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan