Pages

Juara Showdown 2012 : Dem Lepak Boyz (DLB) terbaik!

Kru Dem Lepak Boyz (DLB) dinobatkan sebagai juara bagi musim ketiga Showdown 2012 di Pentas akhir Showdown 2012 yang berlangsung di KL Live. Dem Lepak Boyz mempamerkan persembahan gerak tari yang hebat dan konsisten, B-Boys yang terdiri dari tujuh anak muda ini berjaya menewaskan kru Project Elementz di pusingan battle dengan peratus undian yang sangat dekat.
 
"Alhamdulillah, Dem Lepak Boyz akhirnya berjaya juga mendapat gelaran juara pada musim ini. Kami memang tak sangka namun inilah bayaran bagi hasil titik peluh kami semua selama ini. Kami rasa gembira sangat dan syukur Alhamdulillah, disiplin dan semangat yang dibawa kami sepanjang menyertai program ini berbaloi akhirnya," ujar B-Boy, Wes Soul mewakili anggota kumpulan DLB yang lain.

Dengan kemenangan DLB pada malam tadi, ia sekaligus melayakkan mereka membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM50,000 di samping berpeluang menimba ilmu di The Urban Dance Camp di Lorrach, German pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

"Kami sangat teruja untuk ke bengkel tarian tersebut kerana di sana kami berpeluang untuk berjumpa dengan penari-penari profesional yang lain. Kami akan minta tunjuk ajar dari mereka dan akan bawa ilmu tarian yang diterima untuk dikongsikan kepada semua generasi muda di sini.

Dem Lepak Boyz


"Kami juga akan bawa semangat Malaysia dan tunjuk kepada mereka yang Malaysia juga ada kru yang bagus-bagus," ujar Wes sambil memberitahu kesemua mereka mempunyai perancangan untuk membuka sebuah studio kelak.

"Kami bercadang menggunakan separuh dari wang kemenangan itu untuk membuka studio tarian di Cheras. InsyaAllah, kami akan gunakan studio tersebut untuk mengajar golongan muda tentang seni tarian yang ada."

DLB merupakan gabungan antara sahabat dan adik beradik dari lima kru sebelum ini iaitu Giller Battle Crew, Borneo Soul Breakerz, Borneo Crew, Force 136 dan Blazin Squad. Selain Wes Soul, DLB turut dianggotai oleh Killer Khef, Lil V6, Kujoe, One Juicy, Heat dan Shake.

Ditanya mengenai perancangan mereka selepas ini, Wes memberitahu, "Kami akan terus bersatu selepas ini. Kami juga akan teruskan perjuangan kami sampai bila-bila bagi mendidik generasi akan datang," ujarnya mengakhiri perbualan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan