Pages

Safiq janji aksi terbaik Harimau Malaya malam ini

MESKIPUN bakal kehilangan beberapa tonggak utama dalam saingan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki menentang Thailand malam inim, Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim  tidak memandang situasi itu satu perkara yang negatif.
Sebaliknya, beliau yakin dengan kemampuan semua pemain yang ada dan percaya kebolehan dalam diri masing-masing.

"Saya yakin dan percaya dengan semua pemain dalam skuad ini.
"Lagipun, saya tidak mempunyai masalah siapa pemain yang akan diturunkan oleh Datuk K. Rajagobal walaupun seseorang pemain itu hanya berstatus pengganti kepada pemain yang cedera.
"Apa yang penting sekarang, siapa sahaja yang akan diturunkan nanti, buat terbaik dan balas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih kepada kita," kata Safiq kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ketiadaan lima tonggak utama skuad kebangsaan yang mengalami kecederaan serius.
Antaranya, Mohd Shakir Shaari (kecederaan pangkal paha), Mohd Safee Sali (kecederaan hamstring), Wan Zack Haikal Wan Nor (koyakan teruk pada tisu otot kaki), S.Kunalan dan Mohd Khyril Muhymeen.
Bagaimanapun pasukan negara sedikit ceria apabila kelmarin, Rajagobal mengumumkan bahawa Kunalan dan Khyril telah kembali menjalani latihan bersama-sama pemain lain dan boleh diturunkan malam ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keserasian antara pemain asal dan pemain gantian akan memberi masalah kepada pasukan, Safiq berkata, soal itu tidak pernah timbul dalam diri mereka.
"Tentang keserasian tidak ada masalah kerana semua pemain sudah pernah beraksi bersama-sama.
"Kami juga kerap menjalani latihan bersama, jadi masalah keserasian tidak pernah wujud.
"Lagipun, saya yakin setiap pemain dalam skuad kebangsaan mempunyai kelebihan masing-masing dan mereka akan memberi yang terbaik buat negara, " kata pakar sepakan percuma itu.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan getir menentang Thailand malam ini, bekas pemain Selangor itu mengharapkan pasukan Malaysia akan mencatat keputusan "selesa" untuk menghadapi aksi timbal balik di Thailand, 13 Disember nanti.

"Saya memang menaruh harapan tinggi untuk mencatatkan keputusan positif malam esok (ini).
"Tapi, saya tidak mahu para pemain beraksi dalam keadaan tertekan, saya nak beraksi dengan tenang dan berseronok.
"Jadi, harapan saya semua pemain yang diturunkan nanti boleh menunjukkan aksi terbaik dan saya juga berharap para penyokong akan memenuhi stadium untuk memberi semangat kepada pemain," katanya yang mengakui pasukan lawan sebuah pasukan yang kuat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan