Pages

Piala AFF - Pengurus Harimau Malaya: 'Pemain ke-12 amat penting'

PENGURUS Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal menuntut penyokong Malaysia turun beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi meniup semangat anak buah Datuk K Rajagobal yang bakal melayan kunjungan Thailand, malam ini.
Menurut Subahan, sokongan padu penyokong iaitu 'pemain ke-12 skuad kebangsaan' mampu menjadi tonik tambahan buat pemain Harimau Malaya beraksi lebih baik.
"Penyokong mempunyai peranan yang besar malam esok (malam ini). Ini telah terbukti ketika kita menentang Indonesia pada saingan peringkat kumpulan baru-baru ini.
"Biarpun bermula goyah namun dengan sokongan berterusan, pemain dapat beri aksi terbaik dan hasilnya kita menang 2-0.
"Jadi, saya harap situasi sama berlaku pada perlawanan menentang Thailand," katanya.
Pada masa sama, Subahan turut mengingatkan penyokong yang hadir supaya menjaga kelakuan dan tatatertib sekali gus menjadi contoh yang baik kepada pihak lawan.

"Kalau penyokong tempatan memenuhi stadium esok, saya yakin ia akan memberikan satu semangat yang amat luar biasa kepada para pemain, namun saya turut berharap mereka (penyokong) datang dengan cara berhemah kerana Thailand datang ke negara ini sebagai tetamu yang harus diberi layanan dengan baik," katanya.

Sementara itu, mengulas pertembungan separuh akhir pertama malam ini Subahan berkata: "Pemain sudah bersedia. Dari riak wajah mereka terpancar keyakinan yang tinggi. Apa yang penting, jangan biarkan lawan menjaringkan gol. Jika kita mampu atasi Thailand pada peringkat separuh akhir, Insya-ALLAH kita mampu pertahankan kejuaraan Piala AFF."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan