Pages

AES: Kelantan tunggu penjelasan kementerian

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan tidak menolak sepenuhnya penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebaliknya menunggu penerangan Kementerian Pengangkutan mengenai keberkesanan sistem tersebut.

Bagi tujuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan Negeri terpaksa menangguhkan AES berikutan banyak perkara yang masih belum jelas termasuk keberkesanannya.

"Kami tangguh dulu pemasangan AES kerana masih belum mendapat apa-apa penerangan yang jelas tentang fungsi, kebaikan dan keberkesanan sistem tersebut. Ia masih tidak jelas sama ada sistem tersebut memberi manfaat atau tidak," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, kerajaan Kelantan akan mendengar penjelasan dan mungkin akan mempertimbangkan pemasangan AES jika ia terbukti berkesan dan tidak membebankan rakyat.

Ketika ditanya mengenai denda yang dikenakan ke atas pemandu yang tidak mematuhi had yang ditetapkan, beliau berkata, jumlah yang dikenakan terlalu tinggi dan boleh membebankan rakyat.

"Jika ia merupakan pengajaran, tidak perlu kenakan jumlah denda yang tinggi, ini bukan pengajaran tapi satu hukuman.

"Hak kebenaran untuk pemasangan AES di negeri terletak pada Kerajaan Negeri, maka kami menunggu kementerian untuk datang beri penjelasan, rakyat pun sedang menanti keputusan kami," katanya.

Beliau turut menjelaskan, kawasan terpilih pemasangan AES di negeri ini juga tidak munasabah kerana keadaan kawasan tersebut kurang jumlah kemalangan dan tidak melibatkan kemalangan maut.

"Kami akan kaji dulu kawasan yang terlibat kerana dari apa yang saya lihat, ada di antaranya tidak munasabah kerana kawasan tersebut jarang berlaku kemalangan dan had laju yang ditetapkan juga sudah bersesuaian," katanya.

Sebelum ini, negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mahu Kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan AES di negeri ini kerana tidak mendapat penjelasan yang menyeluruh tentang keberkesanan sistem tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan