Pages

Keliru penggunaan meter, kupon

PASIR MAS – Penduduk yang juga pemandu di Pasir Mas merungut setelah disaman pihak Majlis Daerah kerana tidak membayar parkir.

Penduduk, Nik Shafie Nik Rahman, 51, berkata, dia kecewa apabila meter yang tidak dipasang menyebabkannya disaman sebanyak RM10.

Menurutnya, dia beranggapan, meter yang dicabut rosak dan tidak perlu membayar parkir.

"Saya lihat satu deretan bangunan tiada meter parkir sebab itulah saya tidak menyusahkan diri untuk menyiasat perkara terbabit.

"Kenderaan lain juga tidak mempamerkan sebarang kupon maka ia menguatkan lagi anggapan, meter parkir rosak atau diambil untuk baik pulih," katanya, semalam.


Tampal notis jauh

seorang penduduk, Swee Lian, 37, berkata, dia keliru apabila melihat notis yang hanya menggunakan sekeping kertas dan ditampal di tempat yang agak tersorok.

Menurutnya, kertas notis tersebut juga sudah lusuh dan penduduk mungkin tidak menyedari notis yang ditampal.

Katanya, dia tidak tahu kedai atau agen yang menjual kupon kerana tiada sebarang pemberitahuan dimaklumkan sebelum ini.

"Selepas lama mencari, barulah saya terlihat notis jualan kupon di kedai dekat tempat letak kereta ini," katanya semalam.

"Saya sudah bazirkan masa yang lama untuk mencari kedai menjual kupon, sedangkan saya ada banyak kerja hari itu," katanya.


Pengguna tidak dimaklum

Sementara itu, peniaga, Sabki Hamzah, 34, berkata, dia tidak mengetahui ada sesetengah tempat parkir memerlukan kupon.

Menurutnya, sejak bekerja di sini, dia tidak mendapat sebarang notis yang memerlukan pengguna membeli kupon sebelum meletakkan kenderaan.

"Kawasan saya guna, masih lagi dilengkapi tiang meter, sebab itulah saya tidak sedar ada kawasan kena beli tiket.

"Saya berharap pihak Majlis Daerah Pasir Mas menggunakan kaedah lebih praktikal untuk memaklumkan pengguna sebelum memberi saman.

"Penggunaan media diyakini dapat menyelesaikan masalah ini, kerana semua penduduk akan lebih menyedari keadaan ini dengan pantas," katanya.


Notis diletak di masjid

Ketua Jajahan Pasir Mas, Mohd Ghazali Mohamad berkata, notis pemberitahuan sudah diedar di masjid, surau dan kedai makan sejak sekian lama.

Bukan itu sahaja katanya, notis kekal turut diletak sekitar bandar iaitu berdekatan tempat parkir kereta, bagi memberi peringatan kepada pengguna agar mendapatkan kupon daripada agen terpilih.

Menurutnya, pihaknya melantik banyak agen untuk menjual kupon bagi memudahkan pengguna di sini atau mendapatkan kupon dari pejabat MDPM dengan kadar harga yang sama.

"Kita juga masih lagi mengekalkan harga yang sama iaitu 80 sen bagi sejam dan pengguna hanya perlu menggoreskannya dan mempamerkan tiket di depan kenderaan masing-masing," katanya, semalam.


Meter sensitif

Mohd Ghazali berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kaedah berkupon bagi mengurangkan kerugian dihadapi, sekiranya meter rosak.

Menurutnya, meter agak sensitif sekiranya dirosakkan oleh pengguna mahupun kanak-kanak.

"Sekiranya ia rosak, kita terpaksa menghantarnya hingga ke luar negara, maka ia akan membebankan kita untuk menampung kos pengangkutan dan baik pulih," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, parkir berdekatan balai polis daerah, sepanjang deretan bangunan bank Simpanan Nasional dan beberapa kawasan di Rantau Panjang, tidak dilengkapi dengan mesin meter, sebaliknya penggunaan kupon dikuatkuasakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan