PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) terkejut dengan pengakuan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang menyediakan peruntukan kepada penyerangnya, Norshahrul Idlan Tahala bagi menebus baki kontraknya bersama The Red Warriors.
Perkara tersebut diluahkan oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui facebook miliknya semalam selepas PBNJ membuat kenyataan menerusi berita yang di siarkan oleh stesen televisyen berbayar, Astro.
Annuar berkata, kenyataan itu menjadi satu pengakuan bahawa PBNJ cuba mempengaruhi Mat Yo yang masih mempunyai kontrak untuk meninggalkan Kelantan.
"Kenyataan ini adalah satu kesalahan besar yang mengundang tindakan terhadap PBNJ.
"Surat PBNJ untuk menebus kontrak Mat Yo sudah pun merupakan satu kesalahan kerana tebus kontrak tidak boleh dibuat oleh orang ketiga," katanya.
Tambahnya, tindakan PBNJ ini tidak akan menyelesaikan kemelut Mat Yo selain mendedahkan etika perpindahan pemain sudah dicerobohi.
Sebelum ini, Johor dilaporkan perlu membayar harga yang tinggi jika mahu mendapatkan khidmat Mat Yo kerana majikannya KAFA meletakkan nilai yang tinggi terhadap pemain tersebut.
Annuar berkata, kejayaan Mat Yo mengekalkan status Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan kali ketiga berturut-turut sudah cukup untuk menggambarkan nilai sebenar penyerang Kelantan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan