MANCHESTER - Pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra mendakwa musuh setempat, Manchester City tidak mampu menandingi kehebatan skuad The Red Devils.
Evra menyuarakan pendapat itu meskipun City muncul juara Liga Perdana England selepas menewaskan Queens Park Rangers (QPR) 3-2 pada aksi terakhir musim lalu.
Begitupun, Evra menegaskan bahawa United lebih baik berbanding musuh tradisi itu dan kenyataan bintang Perancis itu dianggap sebagai serangan psikologi menjelang pertemuan liga menentang skuad kendalian Roberto Mancini itu bulan depan.
"Sebenarnya, pertemuan City dan United bukan perlawanan setempat yang paling hangat kerana kami sentiasa lebih hebat berbanding mereka.
"Kami sentiasa menjadi kelab No. 1 di Manchester.
"Meskipun mereka berjaya menjadi juara liga musim lalu, ia langsung tidak memberikan kesan kepada kami," kata Evra.
Kenyataan Evra itu dilihat bakal mengundang kemarahan penyokong-penyokong fanatik skuad The Citizens menjelang pertembungan hangat di Stadium Etihad pada 9 Disember depan.
Kedua-dua kelab gergasi Manchester itu bakal berjuang habis-habisan dalam misi meraih trofi liga musim ini.
Untuk rekod, United muncul sebagai pendahulu liga dengan mengatasi City dengan kelebihan dua mata. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan