Pages

Sultan Selangor tegur ahli politik guna agama raih sokongan

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan ahli politik di negara ini supaya tidak menyalahgunakan hukum agama dan tafsiran al-Quran sebagai modal politik bagi meraih sokongan.

Baginda juga melarang mereka mencampuradukkan hal ehwal agama dengan permasalahan politik kerana ia boleh mengeliru dan memecahbelahkan masyarakat.

"Sudah sampai masanya umat Islam khususnya orang Melayu di negeri Selangor ini, berwaspada dan menilai semula kedudukan mereka supaya tidak terpengaruh dengan hasutan dan dakyah oleh pemikiran bebas, liberalisme atau pluralisme yang boleh merosakkan akidah seseorang dan seterusnya boleh menjadi syirik terhadap ALLAH," titah baginda pada majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1434H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam ini.

Titah baginda, kekeliruan yang timbul sejak akhir-akhir ini berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya menterjemah ayat suci al-Quran tanpa mempelajarinya.

"Ada orang yang tidak berilmu atau orang tidak layak mentafsir ayat-ayat al-Quran atau perkara berkaitan hukum ALLAH melakukan tafsiran mengikut fahaman dan kehendak masing-masing yang tidak menepati makna yang sebenarnya.

"Ayat-ayat al-Quran bukanlah seperti sepotong sajak yang boleh ditafsirkan mengikut selera dan fahaman sendiri," titah baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan