ALUNAN suara kanak-kanak membaca ayat-ayat suci al-Quran jelas kedengaran sebaik kaki melangkah masuk ke Maahad Tahfiz Darul Huffaz (Matadahu) yang terletak di Kota Damansara, Selangor.
Sesekali bacaan mereka terhenti apabila ditegur oleh guru yang bertugas kerana kesilapan yang dilakukan sebelum bertindak menyambung kembali hafalan. Rata-rata merupakan pelajar yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun.
Ditubuhkan sekitar tiga tahun lalu, Matadahu merupakan sebuah pusat pendidikan tahfiz yang menjadikan hafazan al-Quran sebagai mata pelajaran teras bagi semua pelajar.
Maahad Asia Barat
Penasihat Matadahu, Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al Linggi, 31, berkata, selain itu para pelajar juga akan diajar dengan ilmu-ilmu Islam dan bahasa Arab berdasarkan sukatan beberapa maahad yang terdapat di Asia Barat seperti Mesir dan Yemen.
"Apa yang pasti, matlamat kami adalah untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam yang terdiri daripada anak-anak beriman, beramal dan bertaqwa selain membentuk generasi hufaz yang menjadikan al Quran sebagai panduan dan sunah sebagai pegangan hidup.
"Seterusnya mereka diharap bakal menjadi generasi yang tampil sebagai pendakwah berkaliber dalam membangunkan modal insan dalam kalangan umat Islam di negara ini," ujar Ahmad Lutfi ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya baru-baru ini.
Memetik hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: 'Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya', graduan Universiti Sulthan Thoha Indonesia itu mengakui ia antara sebab utama beliau mengasaskan pertubuhan maahad tersebut iaitu semata-mata untuk meraih keredaan Ilahi.
Tambah beliau, tempoh pengajian di maahad itu mengambil masa enam tahun. Ia merangkumi bidang hafazan 30 juzuk, panduan membaca al-Quran, pengenalan hukum tajwid, pengukuhan hafazan serta pengajian al-Quran.
"Di samping itu, para pelajar juga akan mendalami ilmu berkaitan akidah, tauhid, fekah, hadis dan Bahasa Arab. Setakat ini kami mempunyai 80 pelajar yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun," jelasnya sambil memberitahu terdapat dua sesi pembelajaran untuk semua pelajar iaitu pagi dan petang.
Solat jemaah
Ditanya tentang tenaga pengajar, Ahmad Lutfi berkata, kesemua sembilan guru yang bertugas merupakan lulusan universiti dari dalam dan luar negara termasuk Universiti Al-Azhar dan Libya.
Berkongsi pengalaman dalam mendidik anak-anak kecil menghafaz al-Quran, salah seorang tenaga pengajar, Ustaz Eka Nazra, 32, melahirkan rasa gembira melaksanakan tugasnya.
Menurut Eka, hatinya berasa amat puas apabila anak-anak yang dididik berjaya membaca al-Quran dan menghafaznya dengan lancar.
"Walaupun masing-masing mempunyai kerenah tersendiri, mereka sebenarnya mudah dibentuk jika ia dilakukan dengan cara yang betul. Malah, di Matadahu, kami turut mengajar anak-anak melaksanakan solat berjemaah untuk dipraktik dalam kehidupan sehari-hari," ujar Eka yang berasal dari Indonesia. Beliau kini melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di Universiti Teknologi Mara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan