MARAN 14 Nov.- Lulusan Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran bakal mewarnai persaingan pengajian di peringkat ijazah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara pada sesi pengajian akan datang.
Pengarah Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Mohd. Shaari Azyze Mohd. Salleh Azyze berkata, kira-kira 25,000 penuntut layak mengisi mana-mana jurusan yang ditawarkan di universiti pilihan masing-masing.
Menurutnya, setiap kolej matrikulasi meletakkan asas kukuh kepada penuntut terbabit untuk memilih jurusan sesuai dengan bidang yang diambil di peringkat kolej itu.
"Program matrikulasi adalah program asas bagi menyediakan pelajar ke IPTA dalam bidang sains, teknikal dan teknologi yang memenuhi tempat pengajian di universiti tempatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, sebagai contoh kolej matrikulasi di sini menyediakan penuntut berkemahiran dalam bidang teknikal yang memberi ruang terhadap mereka memilih kursus menepati dengan kelulusan di peringkat sijil.
"Mereka merupakan aset kepada pembangunan negara kerana berkemampuan secara langsung membina halu tuju dengan lebih dinamik,' katanya.
Menurut beliau, beberapa jurusan menjadi rebutan bagi para penuntut matrikulasi seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejururawatan serta bidang kejuruteraan iaitu mekanikal dan elektrikal.
"Prasarana dan kemudahan yang terhad menyebabkan ramai dalam kalangan mereka yang memiliki pencapaian akademik cemerlang tidak diterima melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan