Pages

Piala AFF Suzuki 2012 - Malaysia terikat seri dengan Bangladesh 1-1

SKUAD Datuk K. Rajagobal hampir malu besar. Lawan Bangladesh pun tidak boleh menang, inikan pula mempertahankan AFF Suzuki. Sudah tentu itu mesej yang cukup jelas diterima pengendali Harimau Malaya, Rajagobal semasa skuad kendaliannya sekadar seri 1-1 dengan Bangladesh dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Dengan hanya kurang 2,000 penonton hadir ke stadium, itupun sebahagiannya penyokong Bangladesh, tidak mustahil senario yang lebih kurang sama bakal berulang ketika aksi pembuka tirai Kumpulan B Kejohanan Piala AFF Suzuki menentang Singapura di stadium sama Ahad ini.
Apa tidaknya, 'penyakit lama' Harimau Malaya yang sering kehilangan kawalan bola seperti mana ketika tumpas 0-1 dan 0-2 kepada Vietnam dan Thailand serta seri 1-1 dengan Hong Kong dalam tiga siri persahabatan sebelum ini dilihat sekali lagi berulang ketika berdepan Bangladesh malam tadi.
Janji Rajagobal untuk menghadiahkan kemenangan buat penyokong Malaysia dalam 'eksperimen terakhir' malam tadi juga tidak ubah sekadar lawak semata-mata.
Mujurlah ada sorakan 'Ultras Malaya' yang setia berdiri teguh di belakang skuad negara di stadium malam tadi bagi mengimbangi sokongan gegak gempita penyokong Bangladesh.
Pada aksi malam tadi, Malaysia bermula garang seawal minit keenam namun percubaan Khyrill Muhymeen Zambri terus ke dakapan penjaga gol lawan, Mamun Khan.
 
Tuan rumah bertambah kecewa apabila rembatan kaki kiri Mohd. Safee Sali tersasar pada minit ke-17 sebelum tandukan Safiq Rahim juga gagal menemui sasaran empat minit kemudian.
Penantian Harimau Malaya akhirnya berbaloi apabila Khyrill tenang menanduk masuk hantaran Safiq hasil satu sepakan penjuru untuk gol pendahuluan tuan rumah pada minit ke-22.
Gol itu jelas menyuntik semangat Malaysia menggandakan asakan apabila Khyrill sekali lagi merobek gawang lawan pada minit ke-33, namun jaringannya dibatalkan pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed kerana ofsaid.
Skuad kendalian Saiful Bari Titu yang sekali-sekala menyerang begitupun kecewa apabila sepakan percuma Md Zahid Hossain melambung tinggi sebelum rembatan Md Waly Faisal ditepis penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias pada penghujung babak pertama.
Percaturan Rajagobal membawa beberapa pemain gantian seperti Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani pada babak kedua juga tidak menjadi.
Sebaliknya, Bangladesh yang tempang dengan 10 pemain selepas Pranotosh Kumer Des dibuang padang pada minit ke-78 gara-gara mengutip kad kuning kedua pula dilihat bertambah garang menggempur kubu tuan rumah.
 
Hasilnya, pelawat berjaya menyamakan kedudukan apabila Md Jahid Hasan Ameli tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81 untuk gol penyamaan Bangladesh selepas Mithun Chowdry dikasari Irwan Fadli Idrus.
Peluang terakhir Malaysia menebus maruah juga berkecai apabila sepakan percuma Baddrol ditepis keluar Mamun Khan pada masa kecederaan.
Apa yang pasti, keputusan itu bukan sahaja meresahkan peminat tempatan tetapi juga mengundang debar Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang dilihat bergegas bertemu Rajagobal selepas perlawanan tamat.
Apa pun, sama ada Harimau Malaya mampu 'mengaum' atau tidak pada kejohanan Piala AFF Suzuki kali ini, hanya Rajagobal yang mengetahui jawapannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan