Pages

Khairul Fahmi janji bangkit

PENJAGA gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat mahu melupakan 'kesilapan' ketika menentang Hong Kong dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.
Skuad Harimau Malaya dilihat mampu mencapai kemenangan pada perlawanan tersebut selepas membuka jaringan menerusi penyerang berbisa negara, Mohd. Safee Sali pada minit ke-58.
Begitupun, hasrat untuk meraih kemenangan kedua selepas menewaskan Hong Kong 3-0 pada 16 Oktober lalu, tidak kesampaian apabila penyerang, La Ka Wei menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir perlawanan.
Ia gara-gara kesilapan antara Khairul Fahmi dengan tonggak pertahanan skuad negara, Mohamad Aidil Zafuan Radzak.
"Dalam bola sepak, segalanya boleh terjadi.
"Saya akui kesilapan itu berpunca daripada salah faham dengan Aidil.
"Meskipun kami memiliki banyak pengalaman di pentas antarabangsa, ia tidak bermakna kami tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan. Apa pun saya menerima pengajaran berguna dalam perlawanan tersebut," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Khairul Fahmi berharap skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu kembali bangkit sebelum memulakan kempen pada Piala AFF Suzuki 25 November ini.
Jelasnya, skuad negara kini semakin terdesak untuk mencari rentak dan dia percaya, Harimau Malaya tidak akan mengulangi kesilapan menjelang pertemuan menentang Bangladesh dalam siri terakhir perlawanan persahabatan pada 20 November ini.
"Mungkin persembahan (menentang Hong Kong) sedikit mengecewakan tetapi saya yakin ia tidak akan berulang. kami akan kembali bangkit," kata Khairul Fahmi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan