Pages

Kronologi Sejarah Konflik Palestin-Israel

Palestin terletak di wilayah yang dinamakan Bulan Sabit Subur, sebuah kawasan yang pada hari ini meliputi Iraq, Syria, Lubnan, Jordan, Israel, Gaza, dan Tebing Barat. Disebabkan kawasan tanahnya yang subur, luas, dan kedudukan geografinya yang penting sebagai penghubung komunikasi antara Afrika, Asia, dan Eropah, Palestin sering ditakluk sehinga lebih kurang 30 kali dalam sejarahnya yang telah menjangkau 5000 tahun.
Bangsa Kanaan merupakan kaum nomad yang sampai ke Palestin dari padang pasir beribu-ribu tahun sebelum kedatangan Nabi Isa a.s. dan mereka merupakan bangsa pertama yang menghuni kawasan tersebut sebagaimana yang banyak dinyatakan dalam kajian-kajian ahli sejarah. Mereka menamakan negara mereka sebagai Kanaan (Canaan). Perkataan Palestin dicipta oleh orang Yunani yang membawa maksud tanah air orang Philistina atau Filastin dalam bahasa Arab. Pada abad ke 19 dan 20, sebahagian besar tanah Palestin telah diceroboh oleh pendatang Yahudi dari Eropah dan pada tahun 1948 mereka mengisytiharkan penubuhan negara Israel di sebahagian besar tanah Palestin setelah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengundi untuk memecahkan Palestin yang diperintah dengan mandat antara bangsa Arab Palestin dengan Yahudi.
 
Berikut merupakan rentetan beberapa peristiwa penting dalam perkembangan konflik Palestin-Israel sejak penguasaan Khilafah Utmaniyyah sehingga tahun 2005:
1516
Pemerintah Uthmaniyyah dari Turki menakluki keseluruhan Timur Tengah termasuk Palestin. Mereka telah menguasai kawasan ini selama 400 tahun.Abad ke-19
Orang-orang Yahudi ditindas di Eropah. Kumpulan-kumpulan kecil Yahudi Eropah mula berhijrah ke Palestin. Mereka bersepadu dengan penduduk Arab dan mendapat tempat perlindungan untuk mengamalkan agama mereka. Apabila kolonialisme Eropah menakluki hampir seluruh dunia, lahirlah gerakan Zionisme, iaitu sebuah gerakan politik yang mendakwa bahawa menurut Old Testament dan New Testament, semua orang Yahudi mempunyai hak ekslusif ke atas Palestin. Pada masa yang sama, pemerintahan Uthmaniyyah ke atas Palestin dan Timur Tengah menjadi kian lemah.1869
Sebuah konsortium Perancis-British telah membina Terusan Suez, menerusi Mesir. Terusan yang dibuka pada 1869 ini menjadi jalan pintas ke jajahan Perancis dan jajahan British Ia menjadi cukup penting sehingga British menggabungkan Mesir ke dalam empayarnya pada tahun 1882. Terusan Suez dan kedudukan Timur Tengah yang strategik membuatkan kawasan ini amat diperlukan oleh penjajah.
1896-1897
Theodor Herzl, salah seorang pengasas Zionisme telah menulis sebuah buku berjudul The Jewish State. Dalam buku ini, Herzl menyokong pembentukan negara Yahudi di Palestin. Pada tahun berikutnya, gerakan Zionis mengadakan kongresnya yang pertama di Basel, Switzerland. Penyokong Zionisme mula menguruskan penghijrahan orang Yahudi secara- besar-besaran ke Palestin.
1908
Minyak ditemui buat kali pertama di Timur Tengah oleh orang British di Iran.
1914-1916
Perang Dunia Pertama meletus. Orang Turki bimbang dengan pengaruh Britain dan Perancis yang semakin kuat di Timur Tengah, lantas mereka bersekutu dengan Jerman. Zionis bekerjasama dengan Britain dan mendesak Britain menyokong penghijrahan orang Yahudi ke Palestin. Sebagai balasan, mereka menjanjikan negara Yahudi yang terbentuk nanti akan melindungi kepentingan British di Terusan Suez. Pada masa yang sama, Britain berjanji kepada orang Arab bahawa mereka akan diberikan kemerdekaan jika mereka bangun menentang orang Turki. Justeru orang Arab memulakan pemberontakan. Sementara itu, Britain dan Perancis telah bertemu secara sulit. Dengan menjangkakan bahawa orang Turki akan ditewaskan, kedua-dua kuasa ini merancangkan pembahagian Timur Tengah melalui Perjanjian Sykes-Picot.
1917
Perisytiharan Balfour pada 2 November menyaksikan Setiausaha Luar Negara Britain, Lord Balfour mengumumkan sokongan bersepadu kerajaan Britain kepada pembentukan sebuah negara kebangsaan bagi orang Yahudi di Palestin. Orang Arab membantah. Britain menenangkan mereka dengan berjanji bahawa penempatan Yahudi di Palestin hanya dibenarkan sejauh mana penempatan mereka sejajar dengan kebebasan politik dan ekonomi penduduk Arab. Bagi rakyat Palestin, 2 November menjadi hari berkabung buat seluruh negara.
1918
Orang Arab membebaskan Damsyik daripada pemerintahan Uthmaniyyah. Walaupun mereka telah dijanjikan kemerdekaan, namun sebulan kemudian Britain menguasai Damsyik. Britain, Perancis dan Amerika Syarikat memenangi Perang Dunia Pertama.
1920-1939
Liga Bangsa dibentuk, dan jelas sekali sebahagian besar negara ahlinya merupakan negara Eropah. Liga memberi Perancis mandat ke atas Syria, manakala Britain diberi mandat ke atas Iraq, Jordan dan Palestin. Di sini mandat ringkasnya membawa makna Britain dan Perancis mentadbir kawasan-kawasan ini sebagai jajahan de facto. Pada 1 September 1920, Perancis membentuk Lubnan Besar, merangkumi Gunung Lubnan dan beberapa bahagian Syria.
Dengan persetujuan British, Zionis memulakan penghijrahan orang Yahudi Eropah secara besar-besaran ke Palestin. Antara tahun 1919 dan 1936, penduduk Yahudi di Palestin bertambah dari 58 000 kepada 348 000 orang. dalam tempoh yang sama, penduduk Arab di Palestin bertambah dari 642 000 kepada 978 000 orang. Zionis menubuhkan Dana Kebangsaan Yahudi untuk membeli tanah di Palestin tetapi mereka dapat memperluaskan bahagian tanah mereka sebanyak 5.6 peratus sahaja.
Rakyat Palestin membantah penhijrahan Zionis yang semakin pesat, tetapi Britain tidak bertindak balas. Pada tahun 1936, Palestin mengisytiharkan mogok peringkat kebangsaan sebagai membantah penghijrahan Zionis. Tidak lama kemudian mogok rakyat Palestin bertukar menjadi pemberontakan bersenjata terhadap British. Namun pada tahun 1939, British bersama Zionis telah berjaya menghancurkan pemberontakan tersebut.
1943
Kemerdekaan Lubnan, dan kuasa diagih-agihkan mengikut agama dengan kekuatan sesuatu komuniti agama didasarkan kepada bilangan yang diandaikan. Kuasa orang Kristian tidak dapat ditandingi, dipastikan oleh nisbah enam ahli Kristian kepada setiap lima ahli Islam di Parlimen. Presiden mesti seorang Kristian Maronite. Perdana Menteri seorang Muslim Sunni, Speaker Parlimen seorang Muslim Syiah dan seterusnya daripada struktur yang berasaskan kepercayaan agama atau gabungan yang terbentuk daripada komuniti bangsa. Pegawai kanan Angkatan Tentera Lubnan kebanyakannya orang Kristian.
1939-1945
Perang Dunia Kedua meletus. Dasar British berkaitan Palestin berubah dan secara tiba-tiba sahaja mereka cuba menghadkan penghijrahan Zionis untuk menghalang orang Arab daripada menyokong Jerman. Zionis mengaturkan penghijrahan secara haram dan terus terang menentang British. Di Eropah, Adolf Hitler memulakan penghapusan etnik Yahudi. Sebelum Jerman tewas, berjuta-juta orang Yahudi telah dibunuh. Lebih daripada 200 000 orang Yahudi dapat berhijrah ke Palestin di bawah program Zionis. United Nation (UN) atau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan. Syria, Lubnan, dan Jordan mencapai kemerdekaan tetapi tidak Palestin.
1946
Pertempuran ganas antara orang Yahudi Zionis dengan rakyat Palestin. Britain tidak lagi dapat mengawal keadaan dan membiarkan PBB memikul tanggungjawab ke atas isu Palestin.
1947
Resolusi Pemecahan yang ditetapkan oleh PBB membahagikan Palestin di bawah mandat Zionis Yahudi dengan orang Arab Palestin. Rakyat Paletsin menolak pembahagian tanah air mereka. Zionis bersiap sedia untuk menghadapi pemecahan dan memulakan kempen keganasan terhadap rakyat Palestin untuk memaksa mereka lari meninggalkan kampung halaman.
1948
Tentera-tentera British meninggalkan Palestin. Zionis mengisytiharkan negara Israel untuk kaum Yahudi. Negara-negara Arab menghantar angkatan tentera untuk menentang negara baru ini. Sejumlah 800 000 rakyat Palestin lari sebelum kemaraan askar Israel. Ankatan tentera Arab terpaksa berundur dan hanya mampu mengekalkan Tebing Barat Palestin dan Gaza. Jordan menguasai Tebing Barat dan Mesir mengambil alih pentadbiran Gaza.
1949
Israel diterima sebagai negara anggota PBB. Pada masa yang sama PBB mengarahkan Israel untuk membenarkan rakyat Palestin kembali ke tanah air mereka, tetapi Israel tidak mematuhi arahan ini. Akhirnya rakyat Palestin terpaksa tinggal di kem-kem pelarian di bawah kelolaan UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Amal PBB) di Jordan, Lubnan, Syria, Tebing Barat, dan Gaza. Rakyat Palestin tidak menubuhkan sebarang gerakan penentang tetapi sebaliknya mereka bersikap tidak peduli dan menanti sahaja kedatangan tentera Arab untuk membebaskan Palestin.
1956
Mesir memiliknegarakan Terusan Suez. Israel, Britain, dan Perancis menentang Mesir. Kesatuan Soviet mengancam akan mengebom Paris dan London. Amerika Syarikat memaksa penyerang berundur. Sekumpulan penuntut Palestin-salah seorang daripada mereka ialah Yasser Arafat- memutuskan untuk bertindak sendiri dan mereka menubuhkan Gerakan Pembebasan Palestin atau al-Fatah.
1958
8 Mei: Perang Saudara Lubnan yang pertama bermula. Perang berakhir pada 14 Oktober.
1964
Negara-negara Liga Arab menubuhkan Palestine Liberation Organization (Pertubuhan Pembebasan Palestin) atau PLO. Pergerakan Fatah tidak menganggotai PLO kerana mereka menganggap PLO terlalu dipengaruhi oleh negara-negara Arab.
1965
1 Januari; Fatah menjalankan operasi gerilanya yang pertama di Israel.
1967
Perang Jun: Angkatan tentera Arab ditumpaskan. Dalam tempoh enam hari sahaja Israel telah menambah wilayahnya sebanyak tidak kali ganda dengan menduduki Semenanjung Sinai di Mesir, Bukit Golan di Syria, Tebing Barat, dan Gaza. Kini seluruh Palestin diduduki. Sejumlah 416 000 pelarian baru dari Tebing Barat dan Gaza tiba di Jordan, Mesir, Syria, dan Lubnan. Kuasa besar Amerika Syarikat dan Russia memulakan serangan diplomatik untuk memujuk negara-negara Arab supaya mengiktiraf Israel, dan sebagai balasan Israel akan beredar dari kawasan-kawasan yang didudukinya. Namun tiada sepatah perkataan pun disebut tentang hak kebangsaan rakayat Palestin.
1968-1969
Perjanjian Kaherah mengesahkan kehadiran rakyat Palestin bersenjata di Lubnan dan menggunakan sebahagian kawasan selatan sebagai tempat melancarkan serangan ke atas Israel. Ketiadaan angkatan bersenjata selepas tentera Arab dalam Perang Jun kemudiannya diganti dengan kehadiran Fatah. Beberapa lagi kumpulan komando ditubuhkan seperti Barisan Hadapan bagi Pembebasan Palestin dan Barisan Demokratik. 21 Mac 1968: Pertempuran Karameh- kumpulan gerila Palestin di Jordan berjaya menumpaskan angkatan tentera Israel. PLO mengambil alih kuasa ke atas kem pelarian di Lubnan dan di Jordan. Disember 1968: Israel menyerang lapangan terbang Beirut; maka bermulalah konflik di Lubnan berkaitan isu Palestin. Pada tahun 1969, kumpulan-kumpulan komando mengambil alih PLO dan pemimpin Fatah, Yasser Arafat dilantik sebagai pengerusi PLO. Pangkalan gerila turut ditubuhkan di Jordan.
1970-1971
Peristiwa Black September. Banyak sekali operasi gerila PLO yang dilancarkan dari Jordan, tindak balas dendam oleh Israel terhadap pengkalan gerila dan kampong-kampung di Jordan, perampasan empat buah kapal terbang ke Jordan, dan bertambahnya kekuatan tentera PLO mencetuskan konfrontasi antara gerakan pembebasan dengan Raja Hussein dari Jordan. Selepas pertempuran dan pembunuhan beribu-ribu rakyat Palestin, angkatan tentera Raja Hussein berjaya mengusir keluar gerakan pembebasan dari Jordan pada Septrember 1971. PLO memindahkan ibu pejabatnya dari Jordan ke Lubnan. Serangan gerila yang berterusan terhadap Israel menyebabkan Israel melancarkan serangan udara terhadap selatan Lubnan. Presiden Jamal Abdul Nasser dari Mesir meninggal dunia dan Anwar Sadat menggantikannya.
1973
Perang Oktober: Usaha Damai kuasa-kuasa besar ke atas Timur Tengah beransur-ansur menjadi buntu kerana Israel enggan bertolak ansur. Untuk memecahkan kebuntuan, Mesir dan Syria memulakan serangan terhadap angkatan tentera Israel di Semenanjung Sinai dan Golan. Negara-negara Arab memulakan sekatan minyak. Rundingan damai yang baru bermula.
1974
Pengerusi PLO, Yasser Arafat menyampaikan ucapan pertamanya di Perhimpunan Agung PBB. Sebahagian besar negara di dunia -105 buah negara- mengiktiraf PLO sebagai satu-satunya wakil sah rakyat Palestin. Pada masa yang sama, PBB mengiktiraf hak rakyat Palestin terhadap tanah air kampung halaman mereka sendiri.
1975
Operasi gerila yang begitu banyak dari selatan Lubnan menyebabkan Israel memulakan operasi pengeboman yang dahsyat terhadap kem pelarian Palestin di kawasan berkenaan. Mereka turut menyerang perkampungan-perkampungan di Lubnan untuk memaksa penduduk lari meninggalkan rumah mereka. Zionis menegaskan bahawa selatan Lubnan juga adalah milik negara Yahudi yang juga diistilahkan mereka sebagai Tebing Utara Israel. Rabbai IDF mengeluarkan risalah yang mewar-warkan bahawa bandar dan kampung di Lubnan dinamai dengan nama Ibrani kuno. Beirut ditandai Be'erot (telaga-telaga), manakala Lubnan diperihalkan sebagai tanah puak Asher.
13 April: Sayap kanan Phalange Kristian menyerang bas yang sarat dengan rakyat Palestin dan beberapa orang rakyat Lubnan. Mereka dibunuh beramai-ramai. Perang saudara Lubnan bermula. Sayap kanan Angkatan Tentera Lubnan bertindak untuk membersihkan semua kawasan Beirut Timur dan kawasan utara daripada PLO dan Gerakan Kebangsaan Lubnan (Lebanese National Movement atau LNM).
PBB mengutuk Zionisme sebagai bersifat perkauman. Mesir di bawah pemerintahan Anwar Sadat dan Israel menandatangani Perjanjian Interim yang kedua; lapangan minyak Abu Rudeis diletakkan semula di bawah Mesir.
1976
Seluruh anggota sayap kanan Barisan Lubnan menyerang kawasan orang Islam, Palestin dan Kristian yang berdegil di Beirut Timur: kem-kem Palestin ditawan, Dbayyeh (ditawan pada 14 Januari); Jisr al-Basha (lebih kurang 2000 orang Kristian) dan Tal al-Za'atar (30 000 rakyat Palestin dan rakyat Lubnan ditawan pada 12 Ogos); daerah sesak Syiah, Maslakh dan Karantina (ditawan pada 18 Januari), pinggir bandar Syiah, Nabab (ditawan pada 6 Ogos), dan Badawi, kawasan kecil Kristian Armenia. Gabungan LNM dan angkatan bersenjata Palestin yang dikenali sebagai Angkatan Bersenjata Bersama telah membalas dengan menawan bandar pantai Damour; penduduk Kristian Maronite diusir.
Pertengahan Januari: Angkatan Tentera Lubnan berpecah. Unit-unit tentera yang menentang persubahatan Kuasa Pemerintahan Tentera dengan sayap kanan angkatan bersenajat Kristian menarik diri daripada angkatan tentera dan membentuk Angkatan Tentera Arab Lubnan di bawah kuasa pemerintahan Leftenan Ahmad Khatib. Jun: Angkatan Bersenjata Bersama hampir-hampir menewaskan sayap kanan Barisan Lubnan apabila angkatan tentera Syria memasuki Lubnan atas undangan Presiden Lubnan, Sulaiman Franjieh. Kejayaan gerakan umum dan progressif tiba-tiba terencat. Syria bermula dengan menyerang angkatan tentera campuran LNM dan PLO dan dua tahun kemudian berlawan dengan sayap kanan campuran Maronite.
1977
16 Mac: Kamal Jumblatt, pemimpin LNM dibunuh. 19 November: Presiden Mesir, Anwar Sadat datang ke Jerusalem untuk memulakan rundingan damai. Lawatannya dikutuk oleh Liga Arab, terutamanya PLO.
1978
Mac: Israel menyerang selatan Lubnan, 2000 orang awam terkorban dan 200 000 lagi menjadi pelarian; enam buah kampung dimusnahkan dan 82 buah lagi dirosakkan. Israel dipaksa berundur tetapi mereka menubuhkan zon penampan atau Lubnan Bebas seluas 10 kilometer di wilayah Lubnan.
1979
Perjanjian damai yang akhir ditandatangani antara Mesir dan Israel. Israel dikehendaki mengembalikan Semenanjung Sinai kepada Mesir; pemindahan selesai pada tahun 1982. Sementara Mesir dan Israel sedang berunding, tentera Israel mengebom kem pelarian rakyat Palestin di Lubnan. Mesir kemudiannya dipecat daripada Liga Arab. Sayap kanan Angkatan Tentera Lubnan yang disokong Israel mengisytiharkan negara mereka sendiri di beberapa bahagian selatan Lubnan.
1980
Iraq menyerang Iran. Bermulalah Perang Teluk.
1981
Pesawat pengebom Israel menyerang dan menghancurkan sebuah reaktor nuklear di Baghdad, Iraq. 300 orang terbunuh dan 800 orang tercedera dalam seranga udara Israel ke atas kawasan orang awam di Beirut. Angkatan tentera Israel dengan cara yang teratur telah memusnahkan jambatan-jambatan yang menyeberangi Sungai Litani. Para diplomat Amerika merundingkan gencatan senjata di sempadan Lubnan-Israel. Disember: Israel secara tidak sah merampas Bukit Golan dari Syria.
1982
Jun: Cubaan membunuh duta Israel ke London oleh kumpulan Palestin yang radikal dan anti-PLO dijadikan alasan bagi Israel untuk menyerang Lubnan (perang Arab-Israel yang keenam); pengepungan Beirut selama tiga bulan; pengusiran angkatan bersenjata PLO dan angkatan tentera Syria dari Beirut.
14 September: Pembunuhan bakal Presiden Lubnan, Bashir Gemayel selepas beliau enggan mengikat perjanjian damai dengan Israel. 15-17 September: Pembunuhan beramai-ramai Shabra dan Shatila dijalankan oleh militia Kata'ib yang diketuai Elias Hobeika dan di bawah perlindungan dan sokongan tentera Israel. Menteri Pertahanan Israel pada ketika itu ialah Ariel Sharon.
1983
Angkatan tentera di bawah kuasa Phalange menguasai kawasan Beirut Barat. Penentangan di bawah sokongan Syria meletus dalam Fatah dan PLO; pertempuran di Lembah Biqa'a dan Tripoli, utara Lubnan berakhir dengan pemecatan askar yang setia kepada Pengerusi PLO, Arafat.
1984
Februari: Pemberontakan popular di Beirut Barat mengakhiri kuasa Phalange.
1985
Tentangan orang awam yang bersenjata terhadap askar Israel memaksa mereka berundur dari kebanyakn kawasan Lubnan yang kemudiannya diambil alih oleh pergerakan Amal, Hizbullah, dan Parti Komunis; enklaf PLO di Saida dan kem pelarian Rashidiyyah berhampiran Tyre. Mei: Militia Amal menyerang Shabra, Shatila, Bourj al-Barajneh. Bermulalah Perang Kem.
1986
Januari: Pertempuran Empat Hari di Shatila. April: Pertempuran Dua Puluh Hari di Shatila. Julai: Pertempuran Tiga Puluh Hari di Shatila. September: Pertempuran Enam Bulan bermula di Rashidiyyah, kemudiannya di Bourj al-Barjneh pada bulan Oktober, dan akhirnya di Shatila pada bulan November.
1987
Februari: Sekatan makanan ditarik balik di Bourj al-Barajneh dan Shatila; namun tembakan curi berterusan. Penyatuan semula PLO semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Palestin di Algiers. Disember: Meletusnya intifada (kebangkitan rakyat Palestin), pemberontakan popular di Tebing Barat dan Gaza di bawah pendudukan Israel.
1988
Januari: Amal menarik balik pengepungan Shatila dan Bourj al-Barajneh. Mei: Pertempuran di kem-kem di Beirut, di bawah sokongan Syria; Shatila dan Bourj al-Barajneh ditawan; mereka yang setia kepada Yasser Arafat diusir. Disember: Mesyuarat Majlis Kebangsaan Palestin di Algiers mengistiharkan perlembagaan negara Palestin.
1993
Pihak berkuasa Palestin dan Israel and telah menandatangani Deklarasi Oslo pada 13 September 1993 yang menjanjikan pemerintahan bebas dan berdaulat untuk rakyat Palestin.
1994
Kawasan aman Israel-Jordan dibentuk pada 26 Oktober.
2002
Pada 24 Jun, Presiden Amerika Syarikat, George Bush memetakan penyelesaian konflik Israel-Palestin. Namun perkembangan yang berlaku tidak menunjukkan kemajuan. Malah pertempuran sering berlaku saban hari.
2004-2005
Kematian Yasser Arafat. Mahmood Abbas mengambil alih jawatan sebagai pemimpin Palestin sehingga sekarang.
*Rujukan:
Bendt & Downing. 1982. We shall return: women of Palestine. Trans. Ann Henning, Zed, London, 1982.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan