KATEGORI kenderaan segmen D kini semakin sengit dengan kemunculan beberapa model baru di pasaran tempatan.
Kenderaan keluaran Jepun yang dahulunya memonopoli pasaran semasa bakal digugat dengan kemasukan kereta dari Eropah dan Korea menerusi beberapa model menarik seperti Volkswagen Passat, Peugeot 508, Kia Optima K5 serta Hyundai Sonata.
Bagi mereka yang kurang arif, kenderaan segmen D dikategorikan kereta sedan eksekutif dan sasaran utamanya adalah golongan berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun, satu daripada model segmen D yang masih lagi mempunyai kekuatan tersendiri ialah Toyota Camry selepas ia dinobatkan kenderaan mencatat jualan terbaik selama enam tahun berturut-turut sejak 2006.
Bagaimanapun, satu daripada model segmen D yang masih lagi mempunyai kekuatan tersendiri ialah Toyota Camry selepas ia dinobatkan kenderaan mencatat jualan terbaik selama enam tahun berturut-turut sejak 2006.
Kemegahan model itu turut terserlah apabila mencatatkan jualan 96,000 unit sehingga Mei lalu sejak diperkenalkan menerusi generasi ketiga pada 1994.
Toyota Camry mempunyai kekuatan tersendiri termasuk enjin, bentuk luaran, kemasan dalaman dan yang paling penting mengikut peredaran masa.
Ketika diberi peluang memandu uji model ini, penulis ditawarkan dengan varian Toyota Camry 2.0 G yang dibekalkan enjin bersesaran 1,998 cc.
Sesuai dengan gaya eksekutif, model ini menawarkan keselesaan dalaman dengan ruang kabin dan tempat duduk yang sedikit empuk selain mengikut struktur badan.
Ruang kaki di tempat duduk belakang memberi kelegaan yang optimum dan sesuai untuk golongan eksekutif berehat sepanjang perjalanan sebelum tiba ke destinasi.
Malah, laluan penyaman udara yang terletak di konsol tengah mempercepatkan penyaluran udara sejuk kepada penumpang belakang ketika berdepan dengan cuaca panas di negara ini.
Jentera ini turut menawarkan keseronokan bagi mereka yang gemar memandu dengan kombinasi prestasi enjinnya serta pengendaliannya yang mantap.
Enjin berkapasiti dua liternya dengan DOHC VVT-i memang mantap kerana mampu menyalurkan kuasa maksimum sehingga 148 PS pada 6,000 rpm serta kuasa tork 190 Nm pada 4,000 rpm.
Sebaik kaki penulis menekan pedal minyaknya, jentera ini terasa ringan walaupun badannya tampak besar dan mampu memberi kuasa pecutan yang mantap.
Kenderaan ini juga masih lagi stabil dan kurang kedengaran deruman enjin walaupun jarum meter menunjukkan kelajuan maksimum.
Malah, model ini dilengkapi gear empat kelajuan automatik dengan Super ECT, selain pilihan untuk manual bagi kuasa pecutan memotong atau mendaki bukit.
Sterengnya sedikit ringan memudahkan pengendalian, malah jentera itu memberi cengkaman ketika laluan berselekoh kerana bahagian depannya dipadankan suspensi MacPherson manakala Pautan Bebas Berkembar bagi belakangnya.
Selain itu, lambang ECO akan bernyala warna hijau pada panel meternya di mana ia menunjukkan cara pemanduan ekonomikal, sekali gus mengurangkan penggunaan minyak.
Paling menarik, ruang kabin model terbaru ini turut ditingkatkan apabila dipadankan papan pemuka tiga dimensi dengan benang jahitan yang tampak menyerlahkan lagi gaya eksklusifnya.
Di lebuh raya, jentera ini tampak garang terutama bentuk hadapan apabila dipadankan dengan bucu tajam.
Jeriji krom besar dan lebar memberi impak kepada imejnya serta kombinasi bampar yang diselitkan lampu kabus bulat untuk meningkatkan pencahayaan pada waktu malam.
Selain bentuknya yang sedikit sporty dan aerodinamik, lampu belakang LED menyerikan lagi imej kenderaan segmen D ini.
Padanan rim bersaiz 16 inci dengan tayar 215/60 R16 melengkapkan wajah generasi terbaru ini untuk tampak tegap dan maskulin.
SPESIFIKASI TOYOTA CAMRY 2.0 G:
ENJIN: 2.0 L dengan empat silinder, DOHC 16 injap, VVT-i
KUASA MAKSIMUM: 146hp pada 6,000 rpm
TORK MAKSIMUM: 190Nm pada 4,000 rpm
TRANSMISI: empat kelajuan automatik Super ECT
HARGA: RM157,900 (tanpa insurans)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan