SWANSEA - Pengurus Chelsea, Roberto di Matteo memuji pengadil perlawanan, Kevin Friend ketika pasukannya seri 1-1 dengan Swansea dalam aksi Liga Perdana England kelmarin.
Katanya, tidak seperti pengadil yang mengadili perlawanan menentang Manchester United sebelum ini, Friend berjaya mengawal permainan dengan baik tanpa wujud sebarang kontroversi.
Di Matteo merujuk kepada kegagalan pengadil, Mark Clattenburg yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kepada pemainnya ketika menentang United tempoh hari.
"Pegawai pertandingan kali ini cukup baik. Kevin Friend bijak mengawal permainan dengan kedua-dua pasukan tenang bermain.
"Dia tidak langsung menganggu rentak permainan malah saya sendiri ucapkan tahniah kepadanya selepas perlawanan kerana berjaya menjalankan tanggungjawab dengan lancar," kata pengendali dari Itali itu.
Bagaimanapun keputusan seri itu menyebabkan Chelsea kehilangan takhta sebagai pendahulu apabila dirampas United yang menang 2-1 ke atas Arsenal, kelmarin.
Chelsea sepatutnya boleh menang hasil jaringan Victor Moses tetapi Swansea menyamakan kedudukan pada minit ke-88 menerusi Pablo Hernandez untuk mengecewakan juara kelab Eropah itu.
Mereka kini ketinggalan satu mata di belakang United. Di Matteo bagaimanapun enggan mengaitkan kegagalan pasukannya dengan kehilangan tumpuan kesan daripada kontroversi membabitkan Clattenburg.
"Saya tidak fikir sampai ke situ pula. Ini kerana ia merupakan keputusan seri kedua kami di tempat lawan. Selebihnya kami menang," tegasnya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan