Menganjurkan walimatulurus adalah sunat muakkad (sunat dituntut) sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Kata Nabi kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau hendak berkahwin, "hendaklah anda mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing."
Tujuan walimah adalah untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin baru selain sebagai tanda kesyukuran kepada Allah kerana mendapat menantu baru.
Islam mensyariatkan nikah dan ia adalah sebahagian daripada hukum Allah SWT. Allah menjadikan manusia bagi melengkapkannya dengan naluri keinginan iaitu nafsu untuk berkelamin. Tidak hairanlah Rasulullah SAW melarang orang yang menolak atau mengabaikan perkahwinan seperti sabdanya;
"Barang siapa yang tidak menyukai sunnahku, maka dia bukanlah daripada umatku, berkahwin adalah sunnahku, kerana itu sesiapa yang mengasihaniku, maka hendaklah dia mengikut sunnahku." (Riwayat Ahmad).
Sebenarnya, terdapat hikmah besar melalui perkahwinan seperti ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud;
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Allah menciptakan untuk kamu (kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (menimbulkan kesedaran) bagi mereka yang berfikir. (Al-Rum ayat 12).
Ayat berkenaan memperlihatkan wujudnya ketenteraman jiwa daripada kehendak nafsu, kecintaan dan kasih sayang yang meruntun jiwa semula jadi manusia menjadi sempurna di dunia.
Perkahwinan juga satu cara memperbaiki akhlak dan budi pekerti seperti ditegaskan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; Wahai pemuda, sesiapa di kalangan kamu yang mampu mendapatkan mahar, maka hendaklah kamu berkahwin kerana ia dapat memejamkan mata (memandang perempuan) dan dapat menjaga kesucian diri (dari zina) dan sesiapa yang belum mampu hendaklah dia berpuasa, kerana puasa baginya adalah penjaga diri.
Selain itu, perkahwinan juga dapat meluas dan membesarkan keluarga sekali gus membendung lelaki melakukan seks tersembunyi (onani) kerana boleh merosakkan kesihatan, fizikal dan mental atau jasmani dan rohani.
Perkahwinan juga mengukuhkan politik yang bermaksud boleh bertambah rakyat dan kekuatan spiritual dan material.
Islam menggariskan tata tertib dan adab yang wajar dipatuhi ketika majlis akad nikah, antaranya hendaklah diumum dan dimeriahkan dengan mengundang kaum kerabat, tetangga dan sahabat handai terdekat bagi menyaksikan majlis berkenaan.
Majlis akad nikah sebaik-baiknya diadakan dalam masjid yang boleh disaksikan orang ramai, lebih lagi institusi itu adalah tempat curahan rahmat Allah dan benteng keimanan sekali gus mendapat keredaan Allah.
Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud;
"Umumkanlah perkahwinan itu dan selenggaralah di masjid dan pukullah rebana." -(Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi).
Jemputan disunatkan menyampaikan ucapan selamat serta mendoakan kesejahteraan mempelai (suami isteri) seperti yang diajar Rasulullah sebagaimana dialunkan penyanyi kelahiran Tripoli, Labenon yang dibesarkan di Sweden, Maher Zain, Baraka Allahu Lakuma.
"Barakallahulaka, wabarakaalaika, wajama'a bainakuma pilkhair"
Yang bermaksud: Semoga Allah memberkati anda, menjadikan hidup berkat, dan Allah menyatukan anda berdua dalam kebajikan.
Dalam meraikan kegembiraan tersebut adalah penting bagi kita membezakan antara adat dan ibadat yang perlu dipatuhi. Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syarak.
Ketika masuk ke rumah Allah, tunaikanlah solat Tahiyatul Masjid dua rakaat. Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud;
"Apabila seseorang kamu ke dalam masjid, janganlah duduk sehingga dia solat dua rakaat." (Muttapaqun alai).
Selain itu, jagalah kebersihan masjid, mengotorkan masjid hukumnya haram, tidak bersembang perkara di luar kesopanan, duduk berasingan antara pengiring pengantin lelaki dan perempuan manakala ibu bapa dan penjaga kanak-kanak mengawal anak masing-masing.
Pengiring perempuan pula hendaklah memakai pakaian sopan sesuai sebagai tetamu Allah. Sewajarnya memakai pakaian menutup aurat manakala pengiring lelaki elakkan memakai seluar terkoyak di lutut atau sengaja dikoyakkan di samping memakai baju T yang tidak senonoh.
Menerima jemputan ke majlis perkahwinan adalah wajib kecuali ada sesuatu keuzuran disebabkan sakit atau sebagainya. Rasulullah SAW bersabda, bermaksud;
"Apabila kamu diundang untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, hendaklah kamu hadiri". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan