Pages

Penyerang pinjaman Getafe laung amaran muncul penjaring terbanyak Liga-M

Johor Bahru: Bekas penyerang Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza tampil bersuara betapa dia bukan 'kuda tempang', sebaliknya bebas daripada segala kecederaan untuk beraksi baik bersama Johor dalam kancah Liga Malaysia musim 2013.

Dan bagi membuktikannya, penyerang kelab Liga Sepanyol, Getafe CF yang dipinjam selama semusim itu tidak berselindung mengenai misi utama kehadirannya dalam Liga-M iaitu muncul penjaring terbanyak sekali gus memenangi Kasut Emas.
Untuk rekod, Guiza, 32, pernah muncul pemenang Kasut Emas La Liga ketika mewakili Real Mallorca pada musim 2008 dengan menjaringkan 27 gol daripada 37 perlawanan sekali gus membuka ruang mewakili Sepanyol dalam Piala Eropah 2008 dan La Roja muncul juara kejohanan berprestij itu.

"Secara jujur saya tidak tahu langsung mengenai bola sepak Malaysia dan saya hanya buat kajian menerusi internet selepas mendapat tawaran Johor. Saya akui tertarik dan teruja apabila melihat sendiri final Piala Malaysia di internet.

"Jika bercakap sasaran utama saya di sini, sudah tentu saya mahu muncul penjaring terbanyak. Saya juga bebas daripada kecederaan dan bersedia beraksi depan penyokong setia Johor yang mahu melihat pasukan ini meraih kejuaraan.

"Saya ambil keputusan meninggalkan Getafe secara pinjaman untuk beraksi bersama Johor kerana kurang persefahaman dengan pengurus kelab itu, malah saya mahu cabaran baru walaupun sudah ada tawaran dari dua pasukan La Liga, Malaga dan Real Zaragoza," katanya.

Saya perlu masa untuk sesuaikan diri: Guiza

Guiza bagaimanapun mengakui dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri tetapi percaya ia bukan masalah besar kerana percaya skuad Harimau Selatan yang dibimbing Fandi Ahmad dan diperkuatkan beberapa pemain kebangsaan mampu membantunya.

"Saya datang dari jauh dan sudah pasti tidak mahu menghampakan pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang berusaha mendapatkan khidmat saya dan selaku pemain profesional serta pernah beraksi bersama Sepanyol, saya perlu jaga reputasi itu," kata Guiza.

Sementara itu, Presiden PBNJ Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, PBNJ bangga kerana Guiza memilih menerima tawaran Johor walaupun pada masa sama turut menerima tawaran dari dua kelab La Liga.

"Kita bertuah memiliki pemain berstatus bintang dan saya ingin tekankan Johor bukan mengambil pemain berkualiti untuk jangka masa pendek, sebaliknya sudah ada perancangan bagi memastikan pasukan ini sentiasa kuat dan terus hebat dalam jangka masa panjang selain memantapkan program akademi bola sepak," kata Tunku Ismail.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan